Salah guna logo halal, susu dirampas KPDNHEP

Azman (tiga dari kiri) menunjukkan susu dirampas oleh KPDNHEP.
Azman (tiga dari kiri) menunjukkan susu dirampas oleh KPDNHEP.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah syarikat mengedar susu formula import diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwan Pengguna (KPDNHEP) selepas dikenalpasti menyalahgunakan logo halal.

Dalam serbuan pada 28 Februari lalu di Shah Alam, hampir 5,000 kilogram (kg) susu tepung import dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, syarikat berkenaan mendakwa mengimport susu dari New Zealand dalam bungkusan 25 kg sebelum dialihkan kepada bungkusan dalam kuantiti lebih kecil iaitu satu kg dan 500 gram bagi pasaran tempatan.

Menurutnya, pemeriksaan pihaknya mendapati susu tepung itu mempunyai pensijilan dan logo halal diiktiraf dari Jerman namun menjadi kesalahan sekiranya ia diguna pakai bagi peket susu yang dibungkus semula.

“Syarikat itu melanggar Perenggan 5(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan dan barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan halal kecuali ia diperakukan sebagai halal oleh badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya di Shah Alam hari ini.

Antara susu yang dirampas.
Antara susu yang dirampas.

Azman berkata, jumlah rampasan susu berkenaan dianggarkan bernilai RM74,200.

“Syarikat itu menjalankan perniagaan membabitkan susu sejak lapan tahun lalu manakala kegiatan pembungkusan semula susu tepung itu dibuat sejak dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Susu berkenaan adalah untuk pengguna dewasa dan dijual untuk pasaran sekitar Selangor serta lembah Klang," katanya.

Azman memberitahu, pihak yang mahu membuat pembungkusan semula barangan import perlu membuat permohonan daripada JAKIM sekiranya ingin menggunakan logo halal bagi produk mereka.

“Ia penting bagi memastikan peralatan serta pembungkusan menepati kaedah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta tiada bahan kimia yang ditambah dalam produk berkenaan.

“Jika tiada logo halal, ia tidak menjadi masalah namun apabila logo halal dari luar negara yang diiktiraf JAKIM disalah guna, ia adalah satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk menyerahkan susu tepung itu ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan isi kandungannya.