Ahli perniagaan ditipu rawatan pemutihan kulit

Shafien
Shafien
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan tempatan mendakwa ditipu saudara sendiri yang menawarkan rawatan suntikan pemutihan kulit pada Ogos tahun lalu.

Suspek yang juga seorang wanita mengaku mempunyai kelayakan dan pengalaman untuk menjalankan rawatan berkenaan, selain mendakwa dia adalah seorang kakitangan sebuah pusat rawatan kecantikan yang terkenal di ibu negara.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, mangsa memberitahu dia telah menjalani 17 rawatan di rumah suspek selepas saudaranya itu mendapat bekalan ubat-ubatan yang didakwa dari pusat kecantikan tersebut.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, mangsa telah membuat beberapa pembayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu 'face jab' dan 'dripping'.

"Pada Mac 2021, mangsa mula mengalami masalah kulit teruk dan setelah mendapat rawatan di pusat perubatan, mangsa dikatakan telah menerima rawatan kulit yang salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, mangsa yang tidak berpuas hati telah mendapatkan maklumat lanjut dari pihak pusat kecantikan berkenaan dan mendapati suspek bukan kakitangan di situ.

"Pihak pusat kecantikan itu juga memaklumkan tiada sebarang rawatan kecantikan dibenarkan dijalankan di luar premis.

"Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Tumpat kerana mengesyaki ditipu. Kes ini kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: