Melaka benar solat Jumaat ikut kapasiti ruang solat

JAIM membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini mengikut kapasiti keluasan ruang solat dengan mematuhi SOP MKN bermula Jumaat ini. Foto kecil: Che Sukri Che Mat
JAIM membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini mengikut kapasiti keluasan ruang solat dengan mematuhi SOP MKN bermula Jumaat ini. Foto kecil: Che Sukri Che Mat
A
A
A

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini mengikut kapasiti keluasan ruang solat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula Jumaat ini.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan baharu itu mengikut peralihan fasa terkini Melaka yang telah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun katanya, solat fardu dan solat jenazah di masjid kerajaan negeri masih dikekalkan kapasiti seramai 500 jemaah dan masjid kariah 200 jemaah manakala surau 100 jemaah.

Kata beliau, setiap SOP yang ditetapkan MKN termasuk penjarakan fizikal 1.5 meter di dalam bangunan masjid dan surau perlu dipatuhi selain larangan sebarang pembinaan khemah tambahan.

"Antara syarat lain yang ditetapkan ialah jemaah yang hadir sama ada penduduk tempatan atau warga asing perlu melepasi tempoh 14 hari setelah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Ibu bapa juga tidak digalakkan untuk membawa anak-anak berusia bawah 12 tahun ke masjid," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, sebarang penganjuran majlis yang melibatkan perhimpunan ramai, jamuan di masjid dan surau, serta aktiviti gotong-royong dan jemaah tabligh masih ditangguhkan.

Artikel Berkaitan: