X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Benarkan warga emas masuk premis guna kad vaksinasi

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Pemilik premis perniagaan di Negeri Sembilan diminta mengamalkan budi bicara kepada warga emas yang sudah lengkap divaksin tetapi tidak mempunyai aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis mereka.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini berikutan terdapat aduan daripada golongan itu yang tidak dibenarkan berbuat demikian kerana hanya mempunyai kad vaksinasi sahaja.

"Saya berharap pihak berkenaan seperti di pasar-pasar awam ataupun kedai-kedai memberi kelonggaran kepada golongan ini dengan membenarkan mereka masuk membeli barang keperluan harian.

"Tambahan pula ada dalam kalangan mereka ini tidak mahir menggunakan gajet seperti telefon pintar, justeru pemilik premis terlibat diharap memahami situasi itu dan cukup sekadar menunjukkan kad vaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, semasa Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) individu yang belum menerima vaksin dibenarkan masuk ke premis perniagaan namun atas kebenaran pemilik premis tersebut.

"Jadi terpulang kepada pemilik premis itu sendiri sama ada untuk membenarkan mereka masuk atau tidak," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pada 15 Oktober depan merupakan hari terakhir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) beroperasi di negeri ini.

"Selepas ini proses pemberian vaksin akan dilakukan di klinik kesihatan dan hospital awam manakala pada Khamis merupakan hari terakhir pemberian vaksin dos pertama di negeri ini," katanya.

Pada Rabu, Negeri Sembilan mencatatkan 866,052 individu menerima vaksin dos pertama manakala seramai 789,129 individu telah lengkap dos kedua.

Mengulas mengenai jalan yang menghubungkan Taman Mutiara Galla ke Jalan Tun Dr Ismail (Templer), Aminuddin berkata, kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah persendirian yang berhampiran dengan jalan sedia ada bagi melaksanakan projek naik taraf jalan tersebut.

"Apabila segala perkara berkaitan diselesaikan, projek naik taraf Jalan Taman Mutiara Galla ke Templer boleh dilaksana dengan segera," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!