X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

SUV terjunam: Bekas pendandan rambut diarah bela diri

Vaitheswaran dan peguamnya ketika hadir di Mahkamah Bukit Mertajam pada Rabu.Foto fail Sinar Harian (Gambar Kanan)
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang bekas pendandan rambut diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu di Jambatan Pulau Pinang dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, M Vaitheswaran, 23, pada akhir kes pendakwaan.

Menurutnya, berkenaan dengan tuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, beliau berpuas hati bahawa terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan unsur-unsur kecuaian.

“Memandangkan bukti wujud kecuaian oleh tertuduh, saya dengan ini meminta pihak pembelaan untuk membela diri,” katanya.

Mahkamah menetapkan prosiding perbicaraan bela diri pada 28 dan 29 Oktober ini.

Vaitheswaran yang berpakaian kemeja T biru kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika penghakiman dibacakan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala Vaitheswaran diwakili K Paramanathan.

Sementara itu, Paramanathan berkata, anak guamnya akan memberikan keterangan di mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk mematahkan segala anggapan seperti dalam pertuduhan.

Beliau berkata, Vaitheswaran telah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dan ini bermakna anak guamnya bersedia untuk disoal balas oleh pihak pendakwaan.

“Tiga saksi akan dipanggil untuk pembelaan ini yang terdiri daripada tertuduh sendiri, ibunya (saksi awam) serta seorang pakar perubatan dari Hospital Seberang Jaya,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini pada Rabu.

Dua tahun lalu, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu mangsa di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Vaitheswaran dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Yun Peng di atas jambatan berkenaan hingga menyebabkan SUV itu hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!