Isu kewarganegaraan: Ahli Parlimen Pengerang persoal rayuan kerajaan

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak memahami mengapa kerajaan masih mahu membuat rayuan berhubung kewarganegaraan automatik kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui kerugian berhubung kewarganegaraan automatik terbabit kepada negara ini.

Katanya, jika mahu berlaku adil, anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh bapa warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing juga seharusnya tidak diberikan sama seperti ibu.

“Kalau ibu tidak dapat, bapa pun jangan diberi. Kenapa ibu tidak boleh, bapa boleh. Ini yang saya tidak faham seolah-olah wanita di Malaysia ini adakah banyak kurangnya daripada lelaki di Malaysia.

“Terpulang kepada kerajaan nak jawab,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Jemaah Menteri sebelum ini dilaporkan bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kewarganegaraan automatik.

Mahkamah Tinggi pada 9 September lalu membenarkan kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Sementara itu, Azalina yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mempersoalkan mengapa mahkamah sesyen berkenaan jenayah seksual terhadap kanak-kanak masih tidak ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

“Masa saya jadi menteri, saya nak wujudkan mahkamah sesyen di semua negeri-negeri. Kerajaan sudah setuju, tapi sampai hari ini tidak buat-buat,” soalnya.

Beliau turut memberi contoh jumlah kes penderaan membabitkan kanak-kanak dan yang menjadi mangsa jenayah dengan Covid-19 melanda negara.

“Dengan Covid-19, berapa banyak kes anak-anak didera di rumah, berapa kes anak-anak menjadi mangsa jenayah? Hendak bawa ke mana?

“Kalau setakat nak menjadi menteri, ini pun tidak selesai, tak payah jadi menteri,” tegasnya.