IHP susut bukan disebabkan kurang permintaan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan permintaan domestik yang sihat pada Januari membuktikan bahawa penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 0.7 peratus, pada bulan yang sama bukan disebabkan oleh permintaan berkurangan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata seperti yang dijelaskan sebelum ini, penurunan IHP pada Januari sebaliknya didorong oleh dasar kerajaan iaitu penstabilan harga minyak.

“Penstabilan harga minyak itu menyalurkan penjimatan, yang diperolehi apabila harga petrol turun, terus kepada pengguna, dan pada masa sama melindungi mereka semasa harga minyak melambung tinggi melalui penggunaan mekanisme harga siling, serta penggantian Cukai Barang dan Perkhidmatan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lebihan dagangan Malaysia meningkat 19.2 peratus, tahun ke tahun, pada Januari kepada RM11.5 bilion, mengatasi konsensus pasaran sebanyak RM9.0 bilion walaupun perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat masih belum dapat diselesaikan.

“Lebihan dagangan yang tinggi ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun ini untuk ekonomi negara kerana ia membantu memastikan akaun semasa negara akan terus berada dalam keadaan lebihan bagi melindungi Malaysia daripada ketidaktentuan dunia,” katanya.

Selain itu Lim berkata import meningkat sebanyak 1.0 peratus, tahun ke tahun, sekali gus menunjukkan permintaan domestik telah berkembang baik dan ini bercanggah dengan kebimbangan deflasi yang ditimbulkan sesetengah penganalisis pasaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: