Sistem uCustoms gagal siap dalam tempoh 86 bulan

Ringkasan tempoh pembangunan sistem uCustoms.
Ringkasan tempoh pembangunan sistem uCustoms.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan sistem uCustoms bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) sedia ada di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) gagal disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dua bulan (86 bulan) setelah lima pelanjutan masa (EOT) diberikan.

Perkara itu dirumuskan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 yang dikeluarkan pada Selasa.

Laporan itu turut memaklumkan, Projek uCustoms bermula pada 25 Oktober 2013 pada asalnya dijadualkan siap pada 24 Oktober 2015 untuk menggantikan SMK sedia ada di jabatan itu yang telah diguna pakai sejak tahun 1995.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, hasil pengauditan yang dilakukan mendapati, terdapat beberapa kelemahan yang dikesan, antaranya Kajian Kemungkinan tidak dijalankan sebelum projek sistem uCustoms dilaksanakan.

“Selain itu, terdapat kelemahan dari segi kemampuan dan kecekapan kakitangan pembekal sedia ada serta kadar pusing ganti tinggi dalam kalangan pegawai kanan pasukan pembekal uCustoms.

“Perunding juga kurang berjaya memainkan peranan sebagai Pejabat Pengurusan Projek (PMO) dan berlaku kelemahan proses bayaran, di mana 13 baucar bayaran berjumlah RM64.89 juta tidak dilampirkan dengan dokumen sokongan yang lengkap.

“Sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan PMO manakala hanya satu ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Kelewatan pelaksanaan 'Go Live' sehingga 31 Disember 2020.
Kelewatan pelaksanaan 'Go Live' sehingga 31 Disember 2020.

“Notis kenaan LAD berjumlah RM3.94 juta telah dikeluarkan pada 31 Disember 2020 bagi EOT 3 dan EOT 4 kepada syarikat 374044-H,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nik Azman berkata, bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan perkara yang sama tidak berulang terhadap pembangunan sistem lain yang berkaitan di masa hadapan, pihak audit mengesyorkan JKDM mengambil beberapa tindakan.

Antara syor yang dibuat ialah menjalankan kajian menyeluruh keperluan sistem JKDM sebelum sistem baharu dibangunkan.

“JKDM juga perlu mewujudkan tadbir urus projek yang mantap agar kemajuan sebenar, pelaksanaan sistem ‘go live’, pembangunan modul, ‘deliverables’ serta pembayaran kemajuan diberi perhatian dan tindakan sewajarnya diambil.

“Selain itu, memastikan pelaksanaan projek mengikut terma kontrak yang telah dipersetujui dan dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan sistem dapat dibangunkan mengikut spesifikasi yang dikehendaki dan mencapai objektif yang telah ditetapkan,” katanya.

Pihak jabatan juga jelasnya, perlu menyenggara dan mengemas kini dokumen pembangunan sistem supaya pembangunan sistem pada masa hadapan dapat dibuat dengan cekap, teratur dan menyeluruh serta sistem hendaklah menjamin keselamatan data dan maklumat kerajaan terpelihara.

Kod sumber bagi pembangunan sistem aplikasi juga perlu dipastikan menjadi Hak Milik Kerajaan Malaysia untuk mengelakkan kebergantungan kerajaan sepenuhnya kepada pembekal bagi tujuan menyiapkan pembangunan dan penyenggaraan sistem pada masa hadapan.