Contohi penduduk Jepun benci rasuah

Dr Nurul Ashikin
Dr Nurul Ashikin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Sekretariat Reset Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi menyuarakan kebimbangan terhadap golongan pengamal rasuah dan kleptokrat yang dilihat semakin berani melakukan korupsi di negara ini.

Menurut beliau, golongan berkenaan dilihat semakin kebal sehingga menyukarkan pihak tertentu dalam usaha membendung gejala rasuah.

“Tidak mudah untuk kita terus melaungkan antirasuah sedangkan orang yang terlibat dengan rasuah, ada yang boleh dilepaskan begitu sahaja.

“Maksudnya orang yang ada kesalahan besar, masih lagi dilihat ada pengikut, boleh lagi mengeluarkan kenyataan politik dan sebagainya.

“Jadi untuk kita sebagai rakyat, tidak kira apa yang kita cakap pun, ia sukar untuk menampakkan impak,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Nurul Ashikin menegaskan, rakyat Malaysia perlu menerapkan sifat malu dan berusaha mengelak untuk terjebak dengan jenayah rasuah seperti sikap ditunjukkan oleh penduduk Jepun.

Jelas beliau, penduduk Jepun amat membenci rasuah sehingga pelakunya tanpa mengira kedudukan termasuk para pemimpin kerajaan perlu meletak jawatan, tidak dibenarkan menyertai politik dan sebagainya.

Sementara itu, beliau turut menyeru rakyat negara ini untukbersatu dan tampil menyokong kempen Rasuah Busters yang digerakkan oleh akhbar Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

“Kami dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memang sentiasa menyokong dan menyambut baik kempen Rasuah Busters Sinar Harian.

“Sebab itu, ketua sayap parti Pejuang termasuk saya sendiri turut hadir ke pelancaran Rasuah Busters sebelum ini kerana kami menyokong apa yang diperjuangkan oleh akhbar Sinar Harian.

“Kalau majoriti rakyat Malaysia mempunyai pandangan sama bahawa rasuah itu perkara yang tidak patut berlaku dan wujud, insya-ALLAH, kita boleh berjaya untuk mencapai misi Satu Negara, Bebas Rasuah,” tegas beliau.