Malaysia semakin sembuh

Proses pemulihan ini berjaya ditangani dengan penuh onak duri oleh kerajaan dan rakyat kerana perpaduan kita semua. - Foto Bernama
Proses pemulihan ini berjaya ditangani dengan penuh onak duri oleh kerajaan dan rakyat kerana perpaduan kita semua. - Foto Bernama
A
A
A

PERPADUAN rakyat Malaysia dilihat jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah termasuk menghadapi gelombang Covid-19.

Dalam tempoh itu, dapat disaksikan semangat perpaduan yang ditunjukkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Ramai yang menunjukkan sifat empati dan menzahirkan keupayaan individu atau kumpulan untuk memahami sentimen, aspirasi, kebimbangan dan cita-cita individu atau kumpulan yang lain.

Dalam krisis Covid-19, rakyat Malaysia khususnya petugas barisan hadapan telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. Sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat kita.

Seperti beberapa negara berbilang kaum lain, kadang-kala kita hanya melihat isu kaum daripada sudut kaum atau kumpulan tertentu. Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik serta harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media.

Berbekalkan tanda pagar #KitaJagaKita, rakyat bersatu membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Walaupun negara berhadapan krisis kesihatan dan keselamatan awam akibat pandemik Covid-19, rakyat negara ini masih mampu bersikap positif dengan sering mengambil peduli dalam konteks menjaga diri antara satu sama lain.

Akibat daripada pandemik berlarutan ini, Malaysia tidak terlepas daripada pelbagai krisis dan permasalahan seperti isu pembuangan kerja, peningkatan pengangguran, kemerosotan perniagaan dan kes kesihatan mental terjejas.

Artikel Berkaitan:

Sudah hampir dua tahun rakyat Malaysia terpaksa berkorban daripada melakukan aktiviti yang mereka gemari akibat penularan wabak Covid-19.

Menonton wayang, lepak di restoran mamak sambil menonton bola serta pulang ke kampung antara aktiviti yang tidak dapat dilakukan sejak PKP dilaksanakan.

Namun, dengan adanya Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), ia sedikit sebanyak memberi harapan kepada rakyat Malaysia untuk kembali hidup normal.

Sementara itu laporan yang dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan berlakunya penurunan kes membabitkan rawatan pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ini menunjukan hasil vaksin yang cukup telah diberikan bagi golongan dewasa dan ia membuktikan Malaysia kini makin ‘sembuh’.

Sebelum ini beberapa sektor ekonomi telah dibuka untuk beroperasi semula. Terbaharu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kebenaran merentas negeri pada pertengahan bulan Oktober apabila kadar pelalian terhadap Covid-19 mencapai 90 peratus penduduk dewasa. Cadangan ini dilihat sebagai satu langkah positif buat Malaysia.

Jadi, rakyat Malaysia sudah bolehlah pergi merayau ke mana-mana di dalam negara dengan sentiasa ingat untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. Berita ini sudah tentu membawa khabar gembira buat semua terutama anak-anak yang berada di perantauan.

Pelbagai respons positif diberikan rakyat Malaysia di media sosial malah ada di antara mereka memohon agar orang ramai segera menjalankan tanggungjawab mereka demi kesenangan bersama.

MPN turut memberikan fokus kepada persiapan bagi pembukaan semula sektor pelajaran membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah seluruh negara.

Selain itu, isu pemulihan negara perlu lebih menyeluruh termasuk membabitkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa pentadbiran daerah bagi memaksimumkan kesan dalam setiap tindakan yang diambil.

Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa berita gembira buat rakyat Malaysia antaranya membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Johor serta, operasi perniagaan baharu bagi restoran dan kedai serbaneka termasuk kebenaran beroperasi bagi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan bermula 1 Oktober.

Proses pemulihan ini berjaya ditangani dengan penuh onak duri oleh kerajaan dan rakyat adalah kerana perpaduan kita semua. Secara tidak sedar, kerana perpaduan dan jati diri yang dimiliki kita sedang ‘merawat’ Malaysia bersama-sama.

Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan. Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini diteruskan, kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga pada masa akan datang, insya-ALLAH.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berasa bangga kerana dalam krisis ini kita dapat lihat bagaimana mangsa Covid-19 dan penjawat awam, khasnya barisan hadapan tanpa mengira kaum memberikan khidmat yang paling baik untuk mengatasi penularan wabak berkenaan.

Sikap perpaduan seperti ini tidak hanya wujud ketika pandemik, sebaliknya perlu dikekalkan pada bila-bila masa dalam apa juga keadaan.

Kita seharusnya tetap bersatu tanpa perlu berada dalam keadaan sukar mahupun krisis dan sesungguhnya untuk menjadi negara yang berjaya; perpaduan adalah kunci utamanya.

* Shafezah Abdul Wahab merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka.