Konflik baharu Kosovo-Serbia

Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti menunjukkan nombor plat kenderaan sementara ketika sesi Parlimen di Pristina yang mencetuskan bantahan etnik Serb. - Foto Agensi
Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti menunjukkan nombor plat kenderaan sementara ketika sesi Parlimen di Pristina yang mencetuskan bantahan etnik Serb. - Foto Agensi
A
A
A

JARINJE - Konflik antara Kosovo dan Serbia memasuki fasa baharu selepas Belgrade dan Pristina saling 'bertindak balas' di sempadan.

Serbia dilaporkan menempatkan empat kereta kebal berhampiran sempadan dan pasukan tentera mereka turut diletakkan dalam keadaan siap siaga berdekatan lintasan sempadan Jarinje selepas Kosovo mengerahkan unit polis khas di kawasan tersebut.

Pada Isnin, pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memaklumkan anggota misi pengaman KFOR telah meningkatkan rondaan di kawasan pertikaian tersebut yang dikhuatiri akan mencetuskan semula krisis terburuk yang berlaku lebih dua dekad lalu.

"Anggota KFOR sedang mengawasi perkembangan krisis tersebut untuk memastikan situasi terkawal dan selamat termasuk di utara Kosovo," ujar pakatan tentera antarabangsa itu dalam satu kenyataan.

Sejak minggu lalu, hubungan Kosovo dan Serbia semakin keruh selepas ratusan etnik Serb mengadakan protes harian dan menghalang lintasan sempadan di utara sebagai membantah penempatan pihak berkuasa Pristina.

Bantahan itu dibuat selepas etnik Serb mempertikaikan hak untuk menguatkuasakan penggunaan nombor plat kenderaan sementara Republik Kosovo (RKS) jika mahu memasuki Pristina.

"Tiada siapa mahu konflik baharu tercetus. Kami mahu Kosovo memanggil pulang pasukan keselamatan mereka dan membatalkan keputusan untuk melaksanakan nombor plat kenderaan sementara tersebut," kata salah seorang penunjuk perasaan dikenali sebagai Ljubo, 45.

Artikel Berkaitan:

Susulan langkah itu, Kementerian Pertahanan Serbia menuduh bekas wilayahnya itu sengaja melakukan tindakan provokatif melampau.

Pada Sabtu lalu, dua pejabat Kementerian Dalam Negeri di utara Pristina telah diserang kumpulan protes.

Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti mendakwa serangan ke atas pejabat pendaftaran kenderaan di Zubin Potok dan Zvecan itu didorong oleh Belgrade.

Kereta kebal milik tentera Serbia ditempatkan di perkampungan Rudnica berhampiran bandar Raska. - Foto AFP
Kereta kebal milik tentera Serbia ditempatkan di perkampungan Rudnica berhampiran bandar Raska. - Foto AFP

Serbia menyelar keputusan Kosovo yang mewajibkan nombor plat sementara itu seperti menandakan status sebagai negara merdeka walaupun tidak diiktiraf Belgrade.

Menerusi kenyataan balas, Pristina menegaskan ia adalah 'keputusan timbal balik' kerana nombor plat Kosovo adalah dilarang di Serbia.

Difahamkan, ketegangan yang semakin meningkat itu berlaku ketika kedua-dua belah pihak bakal mengadakan pilihan raya yang menyaksikan Kosovo akan mengadakan pemilihan tempatan pada bulan depan manakala Serbia merancang Pilihan Raya Umum pada musim bunga depan.

Ketika ini, komuniti antarabangsa diketuai Kesatuan Eropah (EU) menggesa sesi dialog untuk meredakan ketegangan antara Serbia dan bekas wilayahnya yang didiami majoriti etnik Albania yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 2008

Jurucakap Suruhanjaya Eropah (EC), Diana Spinant menggesa kedua-dua belah pihak bertelagah untuk duduk berunding bagi meredakan sengketa tersebut.

Anggota unit khas Kosovo berkawal di kawasan berhampiran lintasan sempadan Jarinje sejak minggu lalu. - Foto AFP
Anggota unit khas Kosovo berkawal di kawasan berhampiran lintasan sempadan Jarinje sejak minggu lalu. - Foto AFP

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg dalam satu kenyataan mengesahkan beliau telah menghubungi Presiden Serbia, Aleksandar Vucic dan Kurti untuk menggesa Serbia dan Kosovo kembali berdialog.

Sementara itu, Vucic menegaskan Belgrade komited untuk perdamaian, namun ia tidak akan membiarkan negara tersebut dimalukan sewenang-wenangnya dengan tindakan 'jenayah' Kosovo.

Menurut Vucic, proses normalisasi itu hanya boleh disambung semula jika Kosovo berundur dari kawasan didiami majoriti etnik Serb. - Agensi

Info:

-Sejak 1999, Kosovo berada di bawah perlindungan pakatan tentera antarabangsa selepas kempen ketenteraan NATO menamatkan konflik berdarah antara pasukan keselamatan Serbia dan kumpulan gerila etnik Albania.

-Konflik terakhir Belgrade-Pristina tercetus pada 2011 apabila Kosovo mengerahkan anggota polis dan kastam di lintasan sempadan. Serbia bertindak balas dengan menyekat laluan tersebut.

-Sekatan itu dirobohkan tidak lama selepas itu selepas perjanjian yang ditaja NATO dicapai antara Belgrade dan Pristina.

-Pada 2008, Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan secara sebelah pihak dan disokong lebih 110 negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), namun tidak pernah diiktiraf Serbia.

-Hubungan antara kedua-dua negara itu terus tegang walaupun rundingan diusahakan EU sedang dijalankan untuk menormalkan hubungan Kosovo-Serbia.