X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

LKAN 2019: Sistem uCustoms gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan

LKAN turut melaporkan pemilihan pembekal yang tidak mengambil kira penilaian dan laporan yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 13 baucar bayaran bagi pembangunan sistem uCustoms berjumlah RM64.89 juta tidak dapat disahkan kerana dokumen lengkap tidak dilampirkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan pada Selasa, dokumen seperti minit mesyuarat JTPuC penting bagi menentukan kelulusan terhadap tuntutan bayaran dan ketiadaan dokumen sokongan yang lengkap boleh mengakibatkan pembayaran dibuat di luar skop atau perkhidmatan.

“Pendapat Audit memaklumkan pembayaran tidak dilaksanakan dengan teratur dan boleh berlaku pembayaran tidak wajar berjumlah RM64.89 juta kerana tidak disokong oleh dokumen berkaitan,” menurut LKAN.

Berdasarkan laporan itu, semakan audit mendapati hanya 29 baucar berjumlah RM200.69 juta dapat disahkan kerana mempunyai dokumen sokongan yang lengkap.

Arahan Perbendaharaan 99 (a) menyatakan semua baucar atau baucar elektronik hendaklah disokong dengan dokumen sokongan yang lengkap bagi membolehkan baucar disemak tanpa merujuk kepada apa-apa dokumen selain daripada yang dilampirkan padanya.

Sementara itu, LKAN juga mendedahkan bahawa pembangunan sistem uCustoms gagal disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dua bulan (86 bulan) setelah lima EOT (Kontrak Tambahan) diberikan.

Menurutnya, kajian kemungkinan tidak dijalankan sebelum projek sistem uCustoms dilaksanakan.

“Klausa 6(a) Kontrak Utama uCustoms menetapkan uCustoms perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan bermula 25 Oktober 2013 hingga 24 Oktober 2015.

“Klausa kontrak menetapkan pembangunan dan ujian aplikasi penggunaan, pelancaran dan pengurusan perubahan dilaksanakan ketika pembangunan sistem,” menurut LKAN.

Laporan berkenaan menyatakan objektif pembangunan sistem uCustoms ialah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan perkastaman dan institusi perdagangan yang berdaya saing serta memenuhi piawaian antarabangsa melalui gerbang tunggal sistem elektronik yang cepat, selamat, berintegriti dan mesra pelanggan.

“Sehingga 31 Disember 2020, sistem uCustoms gagal disiapkan dan seterusnya tidak dapat digunakan untuk operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) oleh golongan sasar,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, beberapa syor dikemukakan Audit kepada JKDM yang perlu menjalankan kajian menyeluruh keperluan sistem JKDM sebelum pembangunan sistem baharu dibangunkan.

Selain itu, menyenggara dan mengemas kini dokumen pembangunan sistem supaya pembangunan sistem pada masa hadapan dapat dibuat dengan cekap, teratur dan menyeluruh.

“Sistem hendaklah menjamin keselamatan data dan maklumat kerajaan terpelihara,” menurut laporan berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!