Ahmad Zahid tidak telus ketika lanjutkan kontrak UKSB: Saksi

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak telus dan tidak mengikut tatacara ketika melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi projek Visa Luar Negara (VLN).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad berkata, Ahmad Zahid, 68, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, meluluskan pelanjutan kontrak tersebut dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

Menurut beliau, penilaian itu penting kerana syarikat terbabit akan membawa imej negara dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua proses dilaksana dengan betul.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada permohonan itu tetap diluluskan walaupun tiada penilaian dibuat, Suriani menjawab: “Ya.”