MAIS agih sumbangan fidyah berjumlah RM1.9 juta

Abdul Aziz (dua dari kanan) membuat gimik penyerahan mok cek kepada M.D Here Yanto (kanan) sewaktu majlis berkenaan.
Abdul Aziz (dua dari kanan) membuat gimik penyerahan mok cek kepada M.D Here Yanto (kanan) sewaktu majlis berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan wang fidyah berjumlah RM1.9 juta bagi membantu masyarakat orang asli Islam dan pemandu teksi yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.78 juta akan diagihkan kepada 3,550 penerima terdiri daripada ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin & Teksi Lapangan Terbang Se'Malaysia (GTSM).

Beliau berkata, manakala baki selebihnya berjumlah RM135,000 lagi akan disumbangkan kepada 675 keluarga masyarakat orang asli Islam di negeri ini.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan penerima adalah seramai 4,225 orang.

"Penerima sumbangan bagi ahli GTSM akan mendapat bantuan wang tunai berjumlah RM500 setiap keluarga manakala masyarakat orang asli Islam pula menerima wang tunai RM200 setiap keluarga berserta pek makanan asasi bernilai RM100," katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan MAIS Kepada GTSM dan orang asli Selangor yang berlangsung di Bangunan Sultan Idris Shah pada Selasa.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, sehingga kini MAIS telah meluluskan permohonan fidyah sebanyak RM7.56 juta dan mengagihkan sumbangan kepada 33,398 keluarga penerima.

Sejak program agihan fidyah MAIS itu dilancarkan pada 28 Disember tahun lalu, beliau berkata, sejumlah RM4.827 juta telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

"MAIS berharap agar sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban ditanggung oleh setiap ketua keluarga yang terkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) GTSM, M.D Here Yanto Holik berkata, pihaknya amat terharu dengan sumbangan diberikan MAIS bagi membantu pemandu teksi yang kebanyakkannya terjejas teruk sejak pandemik Covid-19.

Tambahnya, bantuan berkenaan akan mula disalurkan ke akaun bank semua ahli terlibat bermula pada Rabu.

"Dengan bantuan ini, dapatlah kami pemandu teksi menarik nafas lega dan menggunakan sumbangan bagi membeli keperluan yang dikehendaki," katanya.