Sarjan didakwa tiga tuduhan rasuah

Tertuduh, Azahari Affendi Basri, 32, (tengah) dikawal ketat anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didakwa atas tiga pertuduhan rasuah.
Tertuduh, Azahari Affendi Basri, 32, (tengah) dikawal ketat anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didakwa atas tiga pertuduhan rasuah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan seorang lelaki atas kesalaham memiliki air ketum, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azahari Affendi Basri, 32, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan selesai dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli didakwa secara rasuah cuba memperoleh RM2,000 daripada Jabir Mohamad sebagai dorongan untuk melakukan satu perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal iaitu bagi mengurangkan pertuduhan terhadap lelaki itu atas kesalahan memiliki air ketum di IPD Jeli pada jam 2 petang, 15 Mei 2018.

Pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan kereta Proton Wira yang disita sebagai barang kes pemilikan air ketum daripada lelaki itu pada tarikh, masa dan di lokasi yang sama.

Sementara itu, pada pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM4,000 sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal daripada lelaki yang sama atas kesalahan memiliki air ketum dan melepaskan Proton Wira yang disita, jam 4 petang, pada 16 Mei 218.

Bagi semua pertuduhan itu, anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda minumum lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Nurul Hazikah Tuan Yacob dan Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Asmadi Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding itu, Tengku Nurul Hazikah menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin bersyarat tertuduh tidak boleh mengganggu saksi serta hendaklah melaporkan diri di SPRM setiap bulan.

Asmadi bagi pihak anak guamnya merayu supaya tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan alasan lelaki itu sudah berkahwin dan kini bertugas di Pulau Pinang.

“Beliau juga menanggung ibu dan ayahnya yang sudah uzur dan ini adalah kes pertamanya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Oktober ini manakala tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan jaminan itu.