Balu Suhaimi terima pencen bulanan

Sze Han (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan serta faedah caruman kepada Khatijah (ketika mengunjungi rumah keluarga itu di Taman Bukit Kinrara di sini, hari ini.
Sze Han (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan serta faedah caruman kepada Khatijah (ketika mengunjungi rumah keluarga itu di Taman Bukit Kinrara di sini, hari ini.
A
A
A

PUCHONG - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor hari ini, menyerahkan sumbangan serta faedah caruman kepada keluarga Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, mangsa kemalangan di Kilometer 372, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River, 23 Februari lalu.

Penolong Pengarah Perkeso Selangor, Wan Kefli Hamid berkata, pihaknya mengambil tindakan proaktif selepas mendapat maklumat berhubung kes yang menimpa arwah menerusi media sosial.

Katanya, hasil semakan mendapati keluarga arwah layak menerima faedah pengurusan mayat serta faedah Pencen Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang bakal diterima setiap bulan sehingga anak arwah berumur 21 tahun.

"Keluarga arwah dibantu di bawah Skim Bencana Pekerjaan yang mana isterinya akan terima pencen setiap bulan sehinggalah dia meninggal dunia.

"Selain itu, keluarganya juga mendapat faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 (bayaran sekali) yang sudah disalurkan menerusi akaun bank,” katanya ketika majlis penyerahan bantuan yang turut dihadiri ADUN Kinrara, Ng Sze Han.

Wan Kefli berkata, anak keempat arwah yang masih dalam kandungan turut akan menerima faedah pencen tersebut namun perlu membuat pendaftaran kepada Perkeso selepas anak tersebut dilahirkan.

Sementara itu, balu Suhaimi, Khatijah Abdul Karim, 36, menzahirkan penghargaan kepada pihak Perkeso yang mempercepatkan proses bantuan berkenaan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya terutama Perkeso serta ADUN Kinrara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sze Han berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perkeso kerana hanya mengambil masa seminggu menguruskan bantuan untuk keluarga Allahyarham Suhaimi.

Katanya, Khatijah boleh menghubungi pejabatnya jika ada memerlukan bantuan lain.

“Dia boleh ke pejabat dan bertemu pembantu saya jika ada perlukan apa-apa bantuan lain,” katanya.

Dalam pada itu, anak-anak Khatijah hari ini turut menerima bantuan wang tunai daripada Yayasan Pelajaran Mara di bawah Skim Bantuan Khas Persekolahan.