Pemandu maut, lori kurier terbakar

Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebuah lori di Jalan Tasik Utara, Larkin pada pagi Selasa.
Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebuah lori di Jalan Tasik Utara, Larkin pada pagi Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori sebuah syarikat perkhidmatan menghantar barang maut selepas kenderaan dipandunya terbakar dalam kemalangan di Jalan Tasik Utara, Larkin di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.46 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota dengan kekuatan satu jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dan memadam api.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa lelaki berusia 23 tahun. Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba mengelak kon jalan sebelum berlanggar dengan sebatang pokok di kawasan berhampiran.

“Kemalangan itu mengakibatkan lori terbakar dan mangsa tidak dapat keluar kerana tersepit. Orang awam cuba mengeluarkan mangsa, namun api terlalu marak,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohd Suhaimi berkata, kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan sebanyak 70 peratus dan anggaran kerugian masih lagi di dalam siasatan.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk proses bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan: