Hanya 50 sekolah tahfiz hantar nama untuk vaksinasi

Mohd Akmal (berdiri, kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar untuk program vaksinasi ketika mengadakan lawatan di PPV Sekolah Izzuddin Shah pada Selasa.
Mohd Akmal (berdiri, kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar untuk program vaksinasi ketika mengadakan lawatan di PPV Sekolah Izzuddin Shah pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 50 sekolah tahfiz daripada 90 yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sudah menghantar nama pelajar untuk program vaksinasi di negeri ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kerajaan negeri meminta kerjasama semua pengetua sekolah tahfiz untuk segera mengemukakan nama pelajar untuk divaksin kepada JAIPk.

Menurutnya, perkara itu penting bagi menyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja untuk pelajar sekolah berumur antara 12 hingga 17 tahun yang sedang dilaksanakan ketika ini.

"Ada yang tak berdaftar pun kita dah bermesyuarat dengan pihak JAIPk macam mana nak selesaikan sekolah tidak berdaftar ini supaya pelajar-pelajar diberi layanan sama rata dengan sekolah agama berdaftar.

"Kita minta kerjasama pengetua dan sekolah lain termasuk yang tidak berdaftar supaya menghubungi pihak JAIPk untuk menyelaraskan program vaksinasi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzuddin Shah, di sini pada Selasa.

Mohd Akmal berkata, semua sekolah tahfiz tidak berdaftar dengan JAIPk berjumlah 39 itu juga belum menyerahkan nama pelajar mereka untuk divaksin.

Menurutnya, dianggarkan jumlah keseluruhan pelajar tahfiz berdaftar dan tidak berdaftar yang akan menerima suntikan vaksin di negeri ini sebanyak 10,000 orang.

Jelasnya, kesemua sekolah yang sudah menghantar nama pelajar akan diberi maklumat berkaitan janji temu vaksin mereka mengikut lokasi tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah menyediakan talian khas kepada orang ramai yang mempunyai kemusykilan mengenai PICK Remaja di talian 05-2410 252 atau 05-2410 107.

Katanya, talian tersebut bertujuan membolehkan pelajar Perak yang belajar di luar untuk mendapatkan vaksin di negeri ini begitu juga sebaliknya.

"Talian ini penting untuk dihebahkan kerana ada pelajar-pelajar Perak bersekolah di luar Perak seperti belajar di sekolah tahfiz di Johor jadi mereka akan dipanggil di PPV di Johor sedangkan mereka berada di sini. Jadi, hubungi talian ini untuk menukar tempat.

"Ada juga yang bersekolah di Gerik tapi tinggal di Tanjung Malim namun dipanggil vaksin di Gerik, jadi mereka pun boleh telefon untuk tukar lokasi," katanya.

Mengenai perkembangan PICK Remaja di Perak, Mohd Akmal berkata, sehingga 26 September seramai 64,681 remaja yang telah divaksin di Perak iaitu 27 peratus daripada populasi di negeri ini.