Bursa Malaysia meningkat semula untuk ditutup tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belian lewat dalam saham wajaran tinggi terpilih telah menarik Bursa Malaysia daripada negatif untuk ditutup tinggi pada Isnin berikutan pelabur mula memahami Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.99 mata atau 0.06 peratus kepada 1,533.05 daripada 1,532.06 pada Jumaat.

Indeks, yang dibuka tinggi 0.83 mata kepada 1,532.89, bergerak dalam jajaran kecil antara 1,526.14 dan 1,533.51 sepanjang hari.

Suasana pasaran, bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 587 berbanding 424 manakala 439 kaunter tidak berubah, 863 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 4.38 bilion unit bernilai RM2.98 bilion daripada 4.78 bilion unit bernilai RM3.34 bilion pada Jumaat.

RMK12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada Isnin, antara lain, menekankan bahawa kedudukan kewangan kerajaan dijangka meningkat pada 2023 dengan pengukuhan ekonomi selepas dilanda pandemik Covid-19.

Pelan tindakan itu dirangka dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion, empat pemangkin dasar dan beberapa tindakan inovatif yang berani, dirancang untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi, menangani cabaran sosioekonomi dan meningkatkan daya saing negara untuk menjadi pemain yang lebih berdaya tahan dan lestari dalam pentas dunia.

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, dalam lima tahun ke depan, ekonomi negara dijangka pulih dan mencapai pertumbuhan yang lebih kuat dan lebih mampan antara 4-5-5.5 peratus setahun setelah mengalami pergolakan pada akhir RMK11 akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Perbelanjaan pembangunan dalam RMK11 adalah RM260 bilion.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat 4.0 sen kepada RM4.08 dan RM6.68, Petronas Chemicals naik 15 sen kepada RM8.26 manakala Maybank tidak berubah pada RM8.10 dan TNB susut 1.0 sen kepada RM9.85.

Daripada saham aktif, KNM naik 1.5 sen kepada 24.5 sen, AT Systematization menambah setengah sen kepada 6.0 sen manakala Borneo Oil dan DNex, masing-masing tidak berubah pada 3.0 sen dan 81 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 0.82 mata kepada 11,275.19, Indeks FBMT 100 berkurangan 4.08 mata kepada 10,969.44 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 17.39 mata kepada 12,286.64.

FBM 70 merosot 48.89 mata kepada 14,962.90 manakala FBM ACE meningkat 83.44 mata kepada 7,245.66.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.70 mata kepada 201.26, Indeks Perladangan merosot 28 mata kepada 6,323.65 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 38.05 mata kepada 15,231.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.74 bilion saham bernilai RM2.46 bilion daripada 3.23 bilion saham bernilai RM2.85 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran susut kepada 339.78 juta unit bernilai RM54.45 juta daripada 390.75 juta unit bernilai RM75.28 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.30 bilion unit bernilai RM461.82 juta daripada 1.15 bilion unit bernilai RM403.39 juta pada Jumaat.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 433.26 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.06 bilion), pembinaan (129.07 juta), teknologi (341.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (57.57 juta), hartanah (171.46 juta), perladangan (15 juta), REIT (10.08 juta), dana tertutup (93,300), tenaga (337.37 juta), penjagaan kesihatan (63.41 juta), telekomunikasi dan media (30.74 juta), pengangkutan dan logistik (70.89 juta) dan utiliti (19.97 juta). - Bernama