X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

215 pelajar tajaan Mara selamat tiba di Heathrow

Pelajar tajaan Mara menaiki pesawat khas Malaysia Airlines dan berlepas dari KLIA pada jam 9.50 pagi Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Seramai 215 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang ke United Kingdom selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada jam 4.15 petang waktu tempatan.

Berita gembira itu dikongsikan di laman sosial Facebook Hi-Edu Mara pada Ahad yang menerima kiriman gambar daripada pelajar-pelajar berkenaan.

Hi-Edu Mara berkata, kesemua pelajar itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat khas Malaysia Airlines pada jam 9.50 pagi Sabtu.

"Memahami perasaan mak ayah yang risau bagi anaknya yang pertama kali menjejakkan kaki di luar negara, moga dengan perkhabaran ini membuatkan mak ayah mereka merasa lega.

"Ketibaan mereka telah disambut baik oleh Pegawai Mara London yang bertugas di lapangan terbang bersama pelajar-pelajar senior di sana," katanya.

Daripada kesemua pelajar terlibat, seramai 187 pelajar mengikuti Program Young Talent membabitkan 164 pelajar dari Kolej Mara Banting dan 22 lagi dari Kolej Mara Seremban.

Menurut Hi-Edu Mara, seramai 28 pelajar pula mengikuti Program Institut Pendidikan Mara (IPMA) Excellent Student manakala seorang pelajar dari Program World Top University.

Pelajar tajaan Mara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow jam 4.15 petang waktu tempatan.
Pelajar tajaan Mara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow jam 4.15 petang waktu tempatan.

Katanya, kebanyakan pelajar itu akan mengikuti pengajian di beberapa universiti termasuk Imperial College London, University College London, London School of Economics and Political Science, University of Edinburgh, University of Manchester dan King's College London.

Antara kursus yang mendapat tajaan Mara adalah Kejuruteraan, Sains Komputer, Ekonomi dan Kewangan, Psikologi, Sains Bioperubatan, Sains Forensik dan Sains Aktuari.

Menerusi hantaran sebelum ini, Hi-Edu Mara turut berkongsi suasana meriah di KLIA yang dipenuhi pelajar tajaan Mara dan bersedia untuk berlepas bagi melanjutkan pengajian ke luar negara.

Jelasnya, mereka yang dihantar keluarga masing-masing mengikut prosedur operasi ditetapkan (SOP).

Hadir sama di KLIA adalah Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran (BPP) Mara, Siti Aminah Abdul Kadir serta pegawai dari Unit Penajaan dan Unit Pemantauan Luar Negara Mara bagi memantau dan bertemu dengan pelajar buat kali terakhir sebelum mereka berlepas.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!