SPRM perlu menjadi ‘hisbah’ bebas, bertanggungjawab

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletakkan di bawah Parlimen dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Ishak Suliaman berkata, SPRM perlu menjadi ‘hisbah’ yang bebas dan bertanggungjawab kepada demokrasi rakyat.

“Parlimenlah yang terbaik,” katanya ketika menjadi panel dalam program D’ Apprentice II bertajuk kursus kepimpinan dan pengurusan organisasi secara dalam talian pada Sabtu.

Turut menjadi panel program pada program yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad itu ialah Penguasa Kanan, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nik Mohd Sukiman Nik Yusuf.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum ini mencadangkan SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen bagi mengelakkan badan penguatkuasaan itu terdedah kepada kuasa eksekutif atau pengaruh luar.

Cadangan itu turut disokong oleh Transparency International Malaysia (TI-M) sambil menyatakan langkah berkenaan dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat.

Mengulas lanjut, Ishak menambah, SPRM juga perlu mempunyai bajet khusus dan tidak boleh dikurangkan selain ada satu semak dan imbang yang terbaik.

Menurutnya, badan penguatkuasaan seperti SPRM amat penting terutama kepada negara membangun seperti Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Negara membangun dan mempunyai sumber yang banyak seperti Malaysia, kita bimbang hasil akan mudah 'digondol' dengan korupsi,” katanya.