X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Malaysia perlu bangun semula melalui RMKe-12: REFSA

A
A

KUALA LUMPUR - Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) perlu memastikan pelan tindakan dasar yang kukuh dan berorientasikan tindakan untuk membina semula Malaysia yang lebih baik semasa dan selepas pandemik, kata para penyelidik di Research for Social Advancement (REFSA).

Jaideep Singh dan Lillian Wee berkata, terdapat lapan bidang penting yang perlu ditangani, iaitu penggubalan dasar baharu dan pintar; menangani masalah buruh asing; melaksanakan dasar perindustrian yang berorientasikan misi dan mengurangkan ketaksamaan gaji.

Bidang penting lain termasuklah pembaharuan institusi yang memberi kuasa kepada wakil kerajaan tempatan untuk melaksanakan penentukuran dasar tempatan; menyusun semula sistem penjagaan kesihatan dan semua kementerian perlu melaksanakan pendigitalan serta mengenal pasti bidang baharu pertumbuhan ekonomi, kata mereka.

“RMKe-12 perlu memperkenalkan pelan tindakan strategik untuk pelan pemulihan lima tahun yang termasuk pembaharuan struktur dalam kerajaan dan sektor swasta.

“Pelan tindakan itu perlu menangani isu-isu seperti pertumbuhan, produktiviti dan gaji yang rendah serta jaringan keselamatan sosial yang tidak stabil,” kata mereka dalam kenyataan pada Sabtu.

Jaideep dan Wee menasihatkan penyusunan semula dan penyelarasan dasar perlu diperluas ke semua kementerian dan agensi mereka serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan untuk matlamat pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

RMKe-12 akan dibentangkan pada Isnin, 27 September di Parlimen manakala Bajet 2022 akan dibentangkan pada 29 Oktober, 2021. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!