Masa mantapkan persefahaman, kombinasi

Skuad Bunga Raya Lelaki 7s negara yang akan membawa cabaran negara pada kejuaraan Ragbi Tujuh Sebelah Asia di Dubai pada 19 dan 20 November depan.
Skuad Bunga Raya Lelaki 7s negara yang akan membawa cabaran negara pada kejuaraan Ragbi Tujuh Sebelah Asia di Dubai pada 19 dan 20 November depan.
A
A
A

MEMBENTUK kembali persefahaman dan kombinasi dalam kalangan pemain lama serta baharu antara cabaran utama skuad ragbi Bunga Raya 7 Sebelah (7s) negara menjelang kejuaraan Ragbi Tujuh Sebelah Asia di Dubai pada 19 dan 20 November depan.

Menurut Ketua Jurulatih Ragbi Lelaki Bunga Raya 7s negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, pembatalan beberapa kejuaraan antarabangsa berikutan Covid-19 sejak dua tahun lalu tidak hanya menjejaskan kecergasan pemain tetapi juga menyebabkan pasukan terpaksa bermula semula dari peringkat asas.

“Elemen utama yang perlu diberikan perhatian adalah membentuk semula persefahaman dalam permainan kerana pasukan sebelum ini cukup terkesan dengan ketiadaan minit perlawanan sejak dari September 2020 sehingga ke hari ini disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya sememangnya memerlukan masa untuk membentuk semula kekuatan pasukan ditambah pula pasukan kini kebanyakannya dibarisi dalam kalangan pemain baharu.

“Tiada pasukan yang mampu cipta kejayaan dengan jalan singkat. Jadi apa yang kami fokuskan sekarang adalah mengembalikan prestasi dan momentum secara berperingkat peringkat bagi mencapai sasaran Sukan Asia 2026. Itu tugas dan sasaran diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM),” kata Saizul Hafifi kepada Sukan Sinar.

Saizul Hafifi
Saizul Hafifi

KRM sebelum ini menegaskan skuad ragbi Bunga Raya 7s negara mempunyai misi penting untuk melayakkan diri ke Piala Dunia, Sukan Asia di Hangzhou,China dan Sukan Komanwel Birmingham tahun depan.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, skuad negara mempunyai tempoh dua bulan melakukan persiapan menjelang kejuaraan Ragbi Tujuh Sebelah Asia di Dubai yang merupakan medan kelayakan ke ketiga-tiga temasya sukan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pencabar dalam kejuaraan itu, Saizul Hafifi menyifatkan semua pasukan yang mengambil bahagian pada kali ini merupakan pencabar kepada skuad negara.

“Saingan kali ini lebih terbuka apatah lagi boleh dikatakan semua pasukan baharu yang dibentuk ini akan bermain kejuaraan kejuaraan Ragbi Tujuh Sebelah Asia.

“Bagi kejuaraan kali ini saya menetapkan sasaran kepada pemain-pemain untuk memberikan aksi terbaik sepenuh hati, kerana keputusan perlawanan dengan situasi norma baharu ini sukar dijangka,” katanya.