KKM terima sumbangan peralatan kesihatan RM9.48 juta

Khairy bersama penyampai sumbangan korporat Keluarga Malaysia di KKM hari ini. Turut sama KSU KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (depan; tiga, kanan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (depan; dua, kiri).
 Foto Bersama
Khairy bersama penyampai sumbangan korporat Keluarga Malaysia di KKM hari ini. Turut sama KSU KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (depan; tiga, kanan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (depan; dua, kiri).
 Foto Bersama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat menerima sumbangan peralatan kesihatan berjumlah RM9.48 juta daripada lima syarikat korporat.

Kumpulan Axiata Sdn Bhd menyumbang RM5 juta bagi pembelian peralatan perubatan dan kelengkapan kesihatan, manakala Yayasan Bursa Malaysia menyumbangkan 310 unit alat penjana oksigen bernilai RM1.99 juta dan 99 Speedmart pula menyumbang 142 unit alat penjana oksigen, katil pesakit serta pelbagai barangan lain berjumlah RM1.88 juta.

Sementara itu, Sime Darby Plantation menyumbangkan 5,000 unit pulse oximeter dengan nilai sumbangan RM375,000 dan Wang Zheng Berhad dengan sumbangan antaranya 600 karton lampin dewasa bernilai RM224,640.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerima sumbangan berkenaan yang diserahkan oleh wakil syarikat masing-masing dalam Majlis Sumbangan Korporat Keluarga Malaysia di KKM, di sini pada Jumat.

Khairy dalam ucapan ringkasnya berkata, nilai keseluruhan sumbangan bukan tunai yang diterima KKM sejak Januari 2020 mencecah RM148 juta dengan hampir 70 peratus peralatan diterima adalah peralatan perlindungan diri (PPE).

“Ketika negara bersedia beralih ke fasa endemik, diharapkan selain PPE, kami akan terima lebih sumbangan bagi pulse oximeter dan kit ujian kendiri Covid-19 kerana walaupun harga siling (kit) ialah RM19.90, ia masih membebankan keluarga B40,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: