MARDI sasar 200 hektar tanah milik petani ditanam buah, sayur

Zabawi
Zabawi
A
A
A

JELEBU - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membekalkan benih buah-buahan dan sayuran-sayuran terpilih kepada petani di seluruh negara untuk ditanam di tanah sasaran seluas 200 hektar menjelang akhir tahun.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Zabawi Abdul Ghani berkata, ia melibatkan tanaman antaranya durian, belimbing, rambutan, kopi liberica, limau bali, kelapa dan keledek kepada petani yang mempunyai tanah.

"Kami akan memberikan bimbingan kepada mereka sehingga projek ini berhasil dan petani yang benar-benar berminat dengan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan oleh MARDI sahaja diberikan projek tersebut. Kami akan datang memantau dalam tempoh empat tahun.

"Petani terlibat hanya diberi salah satu tanaman atau sayur-sayuran yang mereka minat untuk usahakan dan pada masa ini pihak kami sudah kenal pasti petani yang terlibat," katanya selepas selesai program MAFI Prihatin dan Penyerahan Benih Buah - Buahan Tempatan di Stesen MARDI Jelebu. pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pertang; Noor Azmi Yusof dan ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Ahmad (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan MAFI Prihatin di sini pada Jumaat.
Ahmad (dua kiri) ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan MAFI Prihatin di sini pada Jumaat.

Katanya, dalam pada itu, MARDI mensasarkan 1,000 hektar tanah akan ditanam dengan menggunakan benih dari klon MARDI menjelang tahun 2025.

Dalam perkembangan berlainan, Zabawi berkata, tanah seluas 250 hektar milik MARDI di Jelebu akan ditanam pula dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan tempatan antaranya durian dan rambutan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu limau bali juga akan ditanam di kawasan tersebut. Limau bali dihasilkan oleh MARDI ini antara kualiti terbaik dan setanding limau bali ditanam di Kuala Kangsar dengan rasa lebih manis. Kami mahu limau bali ini menjadi simbol bagi Jelebu.

"Bagaimanapun kajian mendalam dilakukan terlebih dahulu berikutan tanah di sini tidak rata dan sedikit berbukit. Jadi perlu lihat kawasan sesuai untuk penanaman," katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan Ahmad menyampaikan sumbangan bakul makanan MAFI Prihatin kepada masyarakat sekitar yang terjejas melibatkan 350 penerima.

Sumbangan bakul makanan disampaikan itu merupakan amanah dan tanggungjawab MAFI serta MARDI selaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan akibat terkesan penularan pandemik Covid-19.

Selain bakul makanan, pihak MARDI menyumbang 100 anak benih pokok buah-buahan terdiri daripada durian, rambutan, dokong dan manggis bagi projek tanaman buah-buahan tempatan di Dusun Pertanian Sungai Mutoh di Jelebu.