Piala Malaysia: Harimau Kumbang sedia mengaum Ahad ini

Tomas Trucha
Tomas Trucha
A
A
A

SKUAD Harimau Kumbang bersedia menghadapi saingan piala tertua Asia Tenggara, Piala Malaysia yang membuka tirai Ahad ini, berdepan Sarawak United FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Ketua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha mengaku pasukan kendaliannya menerima tekanan selepas berjaya merangkul tempat ketiga dalam Liga Super 2021 namun menganggapnya sebagai satu perkara positif.

Katanya, kejayaan tersebut meletakkan Penang FC sebagai pesaing yang kuat di mata pasukan lawan, maka ia memberikan tekanan dan motivasi untuk pasukannya terus mara dalam perlawanan akan datang.

“Saya yakin bahawa perlawanan akan datang jadi lebih mencabar terutamanya apabila berdepan dengan pasukan yang telah menunjukkan prestasi baik. Ada juga pasukan ingin menebus pencapaian mereka dalam saingan lepas, jadi cabarannya tinggi buat Penang FC,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah menerusi aplikasi Zoom pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Trucha berkata pihaknya tidak mempunyai senarai tetap pemain kesebelasan utama dan pemain simpanan, sebaliknya ia bergantung kepada prestasi dan kerja keras para pemain sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan.

Beliau juga tidak meletakkan sasaran khusus dalam saingan Piala Malaysia tahun ini sebaliknya mahu memberikan fokus kepada perlawanan demi perlawanan.

Trucha berkata sebagai Ketua Jurulatih, cabaran utama dalam mengendalikan pasukan adalah bagi memastikan semua pemain sentiasa bermotivasi namun mengakui adalah sukar bagi pemain untuk mendapatkan motivasi dalam waktu singkat selepas mencipta sesuatu kejayaan.

“Apa yang saya lihat ketika mereka berlatih adalah sesuatu yang memberangsangkan. Para pemain semuanya semakin bermotivasi, bersemangat, bekerja keras dan mereka juga saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Adalah sangat penting bagi pasukan untuk bekerja sebagai sebuah keluarga, ianya tidak ternilai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas menyenaraikan Penang FC, sebagai satu daripada pasukan yang berjaya menunjukkan prestasi terbaik sepanjang Liga Super musim ini.

Katanya, beliau menjadikan pujian sebagai penyuntik semangat baharu kepada pasukan tersebut baik dari ahli lembaga pengarah, jurulatih dan para pemain terutamanya dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Tunku Ismail telah berjaya menguruskan JDT dengan profesional dan bertaraf antarabangsa serta mengakui bahawa banyak yang boleh dipelajari daripada beliau (Tunku Ismail)," katanya

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi rancangan Bola@Mamak telah memberikan pandangannya berkenaan prestasi pasukan yang berentap di dalam Liga Super dan Liga Premier 2021.

Diundi dalam Kumpulan A, Penang FC yang mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tangga ketiga, bakal menghadapi Sarawak United FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC.

Pada 2019, skuad Harimau Kumbang gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya selepas tersungkur di peringkat kumpulan.-Bernama