X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Sebutan semula kes Neelofa, PU Riz 21 Oktober

Neelofa, PU Riz dan peguam mereka, Muhammad Shafee berbincang sesuatu selepas serahan dokumen selesai di Mahkamah Majisteret pada Jumaat.
A
A

SEREMBAN - Sebutan semula kes selebriti popular, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau dikenali PU Riz, ditetapkan pada 21 Oktober ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majisteret, Mahyun Yusof, selepas proses penyerahan dokumen selesai dilakukan di Mahkamah Majisteret 1, pada Jumaat.

Peguam mewakili pasangan suami isteri ini, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui berkata, prosiding kali ini hanya melibatkan proses penyerahan dokumen.

"Pada Jumaat, hanya penyerahan dokumen sahaja bagi kedua-dua kes yang harus diserahkan di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah. Dokumen itu saya baru dapat tadi.

"Kami akan mengkaji dokumen ini untuk persiapan pembelaan atau membuat satu representasi berdasarkan dokumen yang kita ada. Saya yakin kes ini sangat kuat.

"Tarikh baru telah ditetapkan pada 21 Oktober untuk sebut semula bagi mendapat tahu situasi representasi serta pembelaan, bukan tarikh perbicaraan," katanya kepada pemberita di Mahkamah Majisteret di sini pada Jumaat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim.

Selain Muhammad Syafee, Neelofa dan suami turut diwakili peguam, Ramzani Idris, Muhammad Farhan Muhammad Syafee dan Syahirah Hanapiah.

Neelofa dan suaminya, sebelum ini tiba di Mahkamah Seremban pada jam 8.40 pagi, bagi urusan penyerahan dokumen kes pendakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semasa ke kedai karpet di Nilai 3.

Kes tersebut sebelum ini tertangguh sebanyak tiga kali disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, media melaporkan tarikh asal pengurusan kes Neelofa dan suaminya Muhammad Haris adalah pada 23 Jun, sebelum ditangguhkan kepada 15 Julai disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Seremban ketika itu, ia sekali lagi ditangguhkan kepada 12 Ogos, namun disebabkan Negeri Sembilan berada di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka ditangguhkan lagi ke pada 24 September.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.

Berikutan itu kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Neelofa kemudiannya dikenakan jaminan RM5,000 oleh mahkamah atas pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual di premis permaidani, Pusat Perniagaan Nilai 3.

Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!