Pelajar jadi 'zombie' dalam kelas: Dua remaja pembekal vape campur dadah ditahan polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua remaja ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan membekalkan vape mengandungi campuran dadah kepada seorang pelajar di Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua suspek yang ditahan baru-baru ini terdiri daripada rakan sekolah mangsa berusia 17 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

"Kita kini sedang mengesan seorang lagi individu yang dipercayai menjadi dalang utama dalam membekalkan vape mengandungi dadah kepada kedua-dua suspek berkenaan.

"Memang wujud trend menjual vape yang mengandungi dadah melalui media sosial.

"Dalam kes ini, pelajar itu membelinya melalui kawan dan kawannya itu membeli dari media sosial sebelum dihantar terus ke rumah," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Hussien berkata, hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua remaja berkenaan positif dadah.

"Tindakan diambil mengikut Akta Penagih Dadah sebelum kes diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengulas kandungan cecair vape berkenaan, Hussein berkata, ia didapati dicampur dengan ketamin, benzo dan cannabinoid.

"Kesan dia seperti yang kita nampak dalam video yang ditularkan itu, mangsa menjadi tidak terkawal dan dalam keadaan berkhayal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menggesa ibu bapa supaya lebih proaktif memantau pergaulan anak-anak, termasuk memeriksa beg dan bilik mereka bagi memastikan golongan berkenaan tidak terjebak dengan penyalahgunaan vape mengandungi dadah.

Pada Khamis Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, seorang pelajar berusia 17 tahun disiasat susulan penularan video memaparkan remaja itu disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape di media sosial.

Dalam perkembangan berasingan, Hussein berkata, polis sudah mengenal pasti tiga dalang utama sindiket antarabangsa yang dipercayai terbabit dalam kes kapal MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.

"Ketiga-tiga individu berkenaan terdiri daripada seorang warga Singapura, Taiwan dan Myanmar.

"Kita sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Singapura, Myanmar dan Taiwan untuk mengesan mereka yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!