Bot karam: Mayat kanak-kanak ditemukan di Beaufort

Mayat dibawa naik ke darat selepas ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian iaitu di Batu 60, Beaufort.
Mayat dibawa naik ke darat selepas ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian iaitu di Batu 60, Beaufort.
A
A
A

TENOM - Kanak-kanak yang lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Padas, Kampung Kalandos, Pangi dekat sini, ditemukan di Batu 60, Beaufort pada petang Khamis.

Mayat Melvin Junaidi, 12, ditemukan oleh orang awam pada jam 4.45 petang kira-kira 33 kilometer dari lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, Joseph Sayah, 55, masih belum ditemui setakat ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa mayat kanak-kanak ditemukan di sungai berkenaan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Kampung Binunuk, Beuafort, untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Misran berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot karam ditangguh pada jam 4 petang dan akan disambung pada Jumaat.

"Mangsa kedua masih belum ditemui dan operasi akan disambung esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kedua-dua mangsa hanyut dibawa arus deras selepas bot yang mereka naiki bersama dua lagi individu terbalik di sungai berkenaan ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli barang di Pekan Tenom pada Rabu.