Lelaki disyaki pengedar dadah diberkas

PDRM
PDRM
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas cubaannya untuk melarikan diri di tepi Jalan Perdana 4/3 Taman Puchong Perdana gagal pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya mendapati suspek berusia 40-an itu berada dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis pada jam 3.45 petang.

"Berlaku pergelutan antara polis dan suspek, namun kita berjaya memberkasnya. Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek, kita merampas 16 peket plastik berisi dadah disyaki heroin dianggarkan bernilai RM750," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abd Khalid berkata, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis MOP.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 14 rekod berkaitan dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: