Ahmad Mustakim dibicara dengan adil di Somalia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Malaysia, Ahmad Mustakim Abdul Hamid, yang ditahan kerana didakwa memasuki Somalia dengan tujuan pembabitan dalam aktiviti kumpulan Al-Shabaab, menerima perbicaraan yang adil, kata kedutaan Somalia di Malaysia.

Atase akhbar kedutaan, Abdimajit M Osman dalam temu bual telefon dengan Bernama berkata, Ahmad didakwa di mahkamah tentera Somalia dan perbicaraan bermula pada 2019.

"Ahmad dilayan dengan baik dan dibicarakan secara adil mengikut undang-undang Somalia. Kami ingin meyakinkan rakyat Malaysia bahawa dia akan mendapat perbicaraan yang adil," katanya.

Ahmad Mustakim, rakyat Malaysia pertama yang didakwa dengan aktiviti berkaitan dengan keganasan dan menyokong Al-Shabaab di Somalia.

"Dia sudah menjalani hukuman penjara lebih dua tahun di Somalia. Dia mendakwa datang ke Somalia untuk mengunjungi seorang rakan yang dia pernah jumpa di Yemen dan tidak mempunyai kaitan dengan Al-Shabaab," kata Abdimajit.

Pada Sabtu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Kementerian Luar memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap Ahmad Mustakim.

Saifuddin berkata, pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.

"Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” katanya.

Abdimajit berkata, Ahmad Mustakim, 34, ditahan bersama seorang warga Britain berusia 44 tahun yang mendakwa dia datang ke Somalia untuk mengunjungi keluarganya.

Menurutnya, Ahmad Mustakim dipercayai memasuki Somalia sekitar 2009 atau 2010.

Kedua-duanya didakwa atas tuduhan "membantu Al-Shabaab dengan kemampuan teknikal mereka". - Bernama