28 juta pengguna media sosial di Malaysia: KSU KKMM

Pandemik Covid-19 telah membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyakarat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial daripada penduduk negara ini.
Pandemik Covid-19 telah membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyakarat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial daripada penduduk negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 telah membawa amalan baharu secara dalam talian dalam kehidupan dan aktiviti masyakarat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, statistik itu juga menunjukkan rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun dari tahun 2020.

Menurutnya, peningkatan penggunaan media sosial adalah berikutan keadaan semasa negara berdepan pandemik Covid-19 yang menyebabkan masyarakat hanya duduk di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Penggunaan Internet sekarang semakin meningkat semenjak kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO),” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Eksklusif: 'Kuasa Media Sosial Perangkap Atau Pemangkin' secara langsung menerusi laman Facebook KKMM pada Rabu.

Selain itu, katanya, penjawat awam juga perlu faham dan jelas dengan cara menggunakan media sosial, terutama dalam perbezaan antara melaksanakan tanggungjawab ketika bertugas dengan kegunaan peribadi.

Mohammad berkata, penjawat awam seharusnya bijak menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dalam memastikan tugasan masing-masing dapat dilakukan dengan lancar, di samping menjaga bahasa digunakan ketika berkomunikasi seperti menaip atau penulisan.

"Kadang-kadang kita lupa bahawa sebaik sahaja menjadi penjawat awam, kita ini 24/7 (sepanjang masa) pegawai kerajaan. Bukan bermakna lepas waktu pejabat, 'oh, saya pun macam orang biasa dah, saya boleh komen ikut saya suka.

"Tidak, sebenarnya selagi kita ini anggota perkhidmatan awam, selagi itu kita 24/7 memang anggota perkhidmatan awam. Jadi kita tidak boleh kata untuk personal account, makna 'ini personal account saya, nothing to do with my official job and so on (tiada kaitan dengan tugas rasmi)', tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohammad juga mengingatkan penjawat awam bukanlah ahli politik dan perlu berpegang kepada dasar 'government of the day' (kerajaan yang memerintah) dengan melaksanakan dasar kerajaan semasa.

Beliau berkata, media sosial juga telah menjadi ejen penyebaran maklumat kepada rakyat, namun pada masa sama masyarakat perlu bijak menilai sesuatu maklumat yang diterima sebelum disebarkan kepada orang lain.

Mohammad turut mengalu-alukan orang ramai mengikuti akaun rasmi media sosial Menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa, timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin dan beliau sendiri bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkembangan semasa dalam negara, terutama program dilaksanakan oleh kerajaan. - Bernama