Tapak pembinaan dikesan buat sambungan air haram

Tapak projek yang disyaki membuat sambungan bekalan air secara terus dengan paip utama Air Selangor.
Tapak projek yang disyaki membuat sambungan bekalan air secara terus dengan paip utama Air Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah tapak pembinaan dikesan membuat dua sambungan haram secara terus ke paip Air Selangor dipercayai untuk kegunaan tapak projek dan pekerja-pekerjanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, sambungan menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter (mm) itu dikesan menerusi operasi bersepadu oleh pihaknya bersama Unit Penguatkuasaan, Pengurusan Air Selangor.

Menurut SPAN, tindakan pemotongan bekalan air yang diperoleh secara tidak sah itu telah diambil serta-merta.

"Kontraktor tapak pembinaan yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan serta berdepan tindakan perundangan," menurut kenyataan itu pada Selasa.

SPAN berkata, pihaknya sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti tersebut yang menjadi penyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (Non- Revenue Water).

"Kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang dari sesalur utama awam boleh disiasat di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang, para pengguna boleh menyalurkan melalui WhatsApp ke nombor 013 3885000 atau e-mel ke alamat aduan@span.gov.my.http://@span.gov.my

Artikel Berkaitan: