Guru tolak vaksin di Terengganu menurun

Salim Ab Ghani
Salim Ab Ghani
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jumlah guru yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Terengganu dilaporkan semakin berkurangan selepas kumpulan itu diberi penerangan dan kefahaman tentang kepentingan vaksin.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, sejak berita lebih 100 guru di negeri ini menolak vaksin dilaporkan, sudah ada guru daripada golongan tersebut mula terbuka hati untuk menerima vaksin.

Bagaimanapun katanya, data terkini baki guru yang masih berkeras menolak vaksin masih belum diperoleh.

“Apa pun, kita sentiasa beri peluang kepada mereka dan sekiranya ingin divaksin, boleh pergi ke PPV (pusat pemberian vaksin) pada bila-bila masa sahaja secara walk-in,” katanya ketika ditanya perkembangan terkini guru yang menolak vaksin di Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan lebih 100 guru sekolah di Terengganu menolak untuk menerima vaksin Covid-19 atas pelbagai alasan.

Bagaimanapun, angka itu hanya mewakili peratusan kecil daripada jumlah keseluruhan guru di negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 100 guru di Terengganu tolak vaksin

Artikel Berkaitan:

Mengulas persediaan sesi persekolahan secara bersemuka pelajar sekolah di negeri ini pada 3 Oktober nanti, Salim berkata, semua sekolah terlibat sudah melakukan persediaan bagi menyambut kehadiran pelajar.

Katanya, dianggarkan 17,000 pelajar Tingkatan Lima dan 2,000 pelajar Tingkatan Enam di negeri ini akan memulakan pembelajaran secara bersemuka nanti.

“Tapi sekiranya ada ibu bapa yang masih keberatan untuk benarkan anak-anak ke sekolah secara fizikal, terpulang kepada mereka dan ia tidak menjadi kesalahan disiplin. Cuma ibu bapa perlu serahkan surat makluman sebagai rekod kita,” katanya.