'Misi Lorong Sepi' bantu gelandangan di Kota Bharu

Norbaidura (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya mengagih makanan kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan Kota Bharu.
Norbaidura (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya mengagih makanan kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang pekerja swasta mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar bandar ini yang dijalankan secara sendirian, kini bertukar menjadi aktiviti mingguan beliau.

Norbaidura Shafie, 38, berkata, dia tidak menyangka usaha yang pada awalnya dilakukan secara sukarela sejak Jun lalu telah menarik minat beberapa lagi individu untuk turut sama menjayakan menerusi aktiviti dinamakan 'Misi Lorong Sepi'.

Menurutnya, empat individu iaitu Fahrin Ali Husain, Mohd Fahmi Abdullah, Mohd Syukran Naim dan Che Norizan Che Omar yang bekerja sebagai peniaga dan surirumah tampil untuk bersamanya bagi menjayakan aktiviti berkenaan.

"Kehadiran tenaga baharu ini menyuntik semangat saya untuk terus menggerakkan Misi Lorong Sepi bagi memastikan gelandangan di sekitar bandar Kota Bharu tidak lagi kelaparan.

"Selain gelandangan, bantuan turut dihulurkan kepada golongan terkesan dengan Covid-19 serta petugas barisan hadapan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Norbaidura berkata, sumbangan kepada petugas barisan hadapan itu sebagai tanda terima kasih kepada golongan berkenaan yang setiap hari bertungkus lumus dalam melawan jangkitan pandemik itu.

"Idea untuk menggerakkan misi ini timbul selepas melihat ramai yang terkesan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara ini.

"Memburukkan lagi keadaan apabila ada dalam kalangan mereka hilang punca pendapatan, sekali gus menjejaskan kehidupan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap lebih ramai pihak yang dapat tampil membantu meredakan tekanan dihadapi orang ramai terutama golongan gelandangan.