Kesemua projek berimpak tinggi lancar selepas penambahbaikan

ALOR SETAR - Kesemua projek berimpak tinggi membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana, Kedah Rubber City (KRC), Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan Sidam Logistics Aerospace and Manufactunnq Hub (SLAM) berjalan lancar selepas kerajaan negeri melakukan pembaikan.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelabur kini sedang berusaha memenuhi syarat ditetapkan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) melalui lapan nasihat yang perlu dipatuhi pemaju.
Menurutnya, MPFN yang bersidang pada 27 Oktober tahun lalu secara dasar bersetuju dengan cadangan pembangunan KXP dan proses pengambilan tanah pula akan dikemukakan setelah kerajaan negeri menerima peruntukan mencukupi daripada pelabur.
“Perjanjian usahasama ini antara KXP AirportCity Holding Sdn Bhd (KXP) dan pelabur, ECK Development Sdn Bhd ditandatangani pada 2 Ogos lalu. Sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) dibentuk bagi membolehkan usahasama bagi pembangunan KXP,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sungai Limau) mengenai status terkini projek berkenaan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.