Kemuka segera laporan RCI Tabung Haji bagi lindungi kepentingan pendeposit - Pakar

Masyarakat, khususnya para pendeposit, sememangnya berhak mengetahui hasil siasatan RCI Tabung Haji. Gambar hiasan
Masyarakat, khususnya para pendeposit, sememangnya berhak mengetahui hasil siasatan RCI Tabung Haji. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), wajar dikemukakan kepada umum dengan segera bagi mencari kebenaran, melindungi kepentingan pendeposit dan memperkukuh tadbir urus institusi itu.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh bagaimanapun berkata, pendedahan laporan itu, tidak seharusnya digunakan untuk menghukum mana-mana pihak sebelum proses undang-undang selesai, mahupun untuk memperoleh keuntungan politik jangka pendek.

"Masyarakat, khususnya para pendeposit, sememangnya berhak mengetahui hasil siasatan tersebut, kerana TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan tetapi institusi amanah umat Islam yang menguruskan simpanan untuk menunaikan ibadah haji.

"Ketelusan diperlukan untuk menjawab segala persoalan, mengenal pasti kelemahan tadbir urus dan memastikan kesilapan yang sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan ringkasan eksekutif, menjelaskan syor-syor RCI yang telah dilaksanakan serta tindakan susulan yang akan diambil.

Mazlan yang berpendapat pendedahan laporan itu berpotensi mempengaruhi persepsi sebahagian pengundi khususnya pengundi Melayu-Islam dan pendeposit TH, bagaimanapun berkata perkara itu tidak semestinya mengubah corak sokongan rakyat secara menyeluruh.

Beliau berkata, keputusan pengundi dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk isu kos sara hidup, prestasi kerajaan negeri, kredibiliti calon, kesetiaan kepada parti dan kekuatan jentera pada peringkat tempatan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berpandangan, isu TH sudah berlanjutan terlalu lama dan penambahbaikan telahpun dilakukan sejak pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pertama hingga Kerajaan MADANI sekarang.

Bagi pesara kerajaan Wan Osman Hashim, 70, menerusi video yang dimuat naik di laman Tiktok beliau, mahu kerajaan segera menyelesaikan isu itu bagi memastikan keadilan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak kerajaan selesaikan dengan segera supaya Tabung Haji tak rugi. Kerajaan mesti ambil tindakan supaya rakyat dapat pergi (menabung) di Tabung Haji dengan ikhlas.

"Penting disiasat penyelewengan duit rakyat Malaysia ini,” katanya menerusi video berdurasi satu minit lapan saat yang turut dikongsikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum, setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri. - Bernama 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!