Kekuatan sijil halal negara perlu diperkukuh dengan keupayaan industri, kerjasama - Anwar

Anwar (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) kali ke-14 dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh hari ini. - Foto: Bernama
Anwar (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) kali ke-14 dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai hab industri halal dunia sekiranya kekuatan pensijilan halal negara diperkukuh dengan keupayaan industri serta kerjasama strategik antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengiktirafan global terhadap sistem halal Malaysia telah membuka ruang kepada negara untuk memperluaskan kerjasama dengan pelbagai negara yang berminat membangunkan industri halal mereka.

Beliau berkata, beberapa pemimpin dunia yang ditemuinya menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor halal termasuk mendapatkan pensijilan halal negara.

"Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil (Luiz Inacio Lula da Silva) dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa semuanya menyatakan Malaysia mencatat prestasi yang baik dalam industri halal dan mereka mahu bekerjasama untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan halal dari Malaysia,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) 2026 dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP), Datuk Dr Mohamad Abd Hamid dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Anwar bagaimanapun menegaskan Malaysia tidak boleh berhenti pada kekuatan pensijilan semata-mata, sebaliknya perlu membina ekosistem industri halal yang lebih menyeluruh.

"Saya menekankan kita tidak hanya harus fokus sijil halal. Kekuatan kita bukan sahaja pensijilan tetapi mesti ada sinergi antara sijil dan industri," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor industri penting bagi memastikan standard halal terus dipertahankan selain membuka peluang kepada syarikat tempatan menembusi pasaran global.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkata industri halal kini bukan lagi terhad kepada makanan sebaliknya berkembang menjadi sektor ekonomi bernilai tinggi yang merangkumi pelbagai bidang. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!