Kereta hilang kawalan, enam sahabat maut rempuh lori

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak awal pagi Sabtu. Foto Polis Bentong
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak awal pagi Sabtu. Foto Polis Bentong
A
A
A

BENTONG – Kereta dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori menyebabkan enam sahabat maut di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak di sini awal pagi Sabtu.

Mangsa yang maut ialah V Mugilan, 25, K Dineshvaran, 22, K Alaganathan, 21, A Kanabati Raja, 19, S Kiisven, 17, dan M Paranthaman, 16.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan menuruni bukit dan berselekoh, kenderaan dinaiki kesemua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke arah bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori jenis Hino.

"Akibat kemalangan itu, pemandu bersama lima penumpangnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan enam sahabat maut di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak awal pagi Sabtu. Foto Polis Bentong
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan enam sahabat maut di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, Karak awal pagi Sabtu. Foto Polis Bentong

Azry Akmar berkata, pemandu lori berumur 31 tahun yang merupakan warganegara tempatan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki serta badan.

Menurutnya, kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Temerloh bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Enam maut kemalangan ngeri membabitkan kereta, lori satu tan

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai dan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak dikejarkan ke lokasi.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan Rescue Tool dan Combi Tool," katanya

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!