PM mahu sejarah Malaysia tidak lagi ditentukan naratif penjajah

Anwar - Foto: Bernama
Anwar - Foto: Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN – Malaysia perlu membina semula naratif sejarahnya berasaskan perspektif rakyat dan bukan terus dibentuk oleh legasi serta kepentingan kuasa penjajah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membina semula sejarah negara penting bagi memastikan generasi akan datang memahami pengorbanan, penderitaan dan perjuangan rakyat, selain mengambil iktibar daripada pengalaman penjajahan.

Menurutnya, sejarah negara tidak seharusnya hanya dikenali melalui monumen atau tinggalan era penjajah, sebaliknya perlu memberi makna kepada perjuangan rakyat dalam membentuk negara yang merdeka dan berdaulat.

“Kita mesti memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah ekonomi yang berkembang, namun pada masa yang sama sejarah negara perlu dibina semula.

“Sejarah kita tidak boleh terus ditentukan oleh monumen tinggalan masa lalu atau dekad pemerintahan bekas kuasa penjajah seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat, tetapi mesti ditentukan oleh rakyat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Fort Cornwallis di Padang Kota, di sini, pada Sabtu.

Anwar berkata, rakyat perlu memahami sejarah negara secara menyeluruh termasuk episod getir dan pahit akibat penjajahan kerana pengalaman itu menjadi pengajaran penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, pembangunan sesebuah bandar semata-mata tidak mencukupi jika masyarakat kehilangan jati diri dan warisan budaya.

Beliau turut memetik kata-kata penulis terkenal, Mark Twain, bahawa sesebuah bandar boleh menjadi moden dengan teknologi canggih, namun tetap gersang daripada sudut budayanya.

Artikel Berkaitan:

“Negara ini berkembang dengan sejarahnya. Kita ada sejarah gemilang, sejarah pahit, sejarah getir dan sejarah penjajahan. Kita tidak boleh melupakan semua itu, tetapi mesti memahaminya.

“Kalau tidak, kota mungkin maju dan hebat dengan teknologi moden, tetapi gersang budayanya,” ujarnya.

Menurut Anwar, pada peringkat awal kemerdekaan, keutamaan pemimpin terdahulu adalah untuk menyatukan rakyat serta membina prasarana asas termasuk sekolah, rumah ibadat dan sistem pentadbiran negara.

"Bagaimanapun, selepas fasa pascakolonial, negara perlu memberi penekanan kepada usaha memulihkan artifak serta lembaran sejarah agar masyarakat memahami hakikat sebenar yang pernah dilalui," katanya.

Anwar menambah, generasi muda perlu didedahkan kepada sisi pahit sejarah kerana suatu ketika dahulu nasib Pulau Pinang ditentukan oleh kuasa asing di London, Tokyo dan Amerika Syarikat, bukannya oleh rakyat tempatan.

“Pengajaran kepada anak-anak kita ialah tanpa perpaduan, pembangunan, keamanan dan kekuatan pertahanan, sejarah boleh berulang dan nasib negara akan ditentukan oleh pihak luar,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha membina semula sejarah bukan bertujuan memadamkan fakta sejarah, sebaliknya meletakkan setiap peristiwa dalam konteks yang tepat supaya rakyat memahami kesan penjajahan terhadap negara.

"Setiap keputusan yang dibuat oleh kuasa kolonial ketika itu adalah demi kepentingan strategik mereka dan langsung tidak mengambil kira kepentingan, budaya, warisan mahupun kelangsungan hidup rakyat tempatan.

"Jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk merangka naratif sejarah tersebut memikul amanah besar dalam memastikan sejarah negara terus dipelihara secara adil, tepat dan memberi pengajaran kepada generasi akan datang," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!