X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Kerajaan pertimbang rentas negeri jika negara masuk fasa endemik

Hishammuddin - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya akan mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan aktiviti merentas negeri secara menyeluruh pada akhir Oktober sekiranya negara memasuki fasa endemik.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha kerajaan membawa negara ke fasa endemik yang dijangka pada akhir Oktober ini tentunya merangkumi perkara tersebut.

“Kita harap perkara ini (rentas negeri secara umum) dapat difikirkan secara mendalam pada masa terdekat.

“Paling penting kita tidak mahu kelonggaran itu membenarkan perjalanan besar-besaran daripada destinasi yang agak berisiko, dan mereka pula akan membawa bersama jangkitan Covid-19 kepada kawasan yang sebelum itu mungkin tidak ada risiko langsung.

“Sebab itu kita agak berhati-hati dalam masa sama tidak boleh lari daripada keputusan untuk melihat fasa endemik pada hujung Oktober ini. Ketika itu insya-ALLAH kita boleh membuat keputusan berhubung soal rentas negeri,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Parlimen di sini pada Selasa.

Hishammuddin berkata, peralihan ke fasa endemik bergantung kepada perkembangan program vaksinasi dan pertimbangan bagi aktiviti rentas negeri juga merangkumi keupayaan fasiliti kesihatan bagi negeri-negeri terlibat.

“Ketika ini kebenaran merentas negeri hanya dibenarkan bagi perkara-perkara tertentu melibatkan individu yang telah lengkap divaksin termasuk pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi, kebenaran bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang mahu melawat anak di bawah 18 tahun,” jelas beliau.

Larangan rentas negeri dilaksanakan sejak Mei ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!