Kerajaan pertimbang perjanjian dengan UNHCR

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan suatu perjanjian bersama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung peranan dan tanggungjawab di dalam negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (1950).

"UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap 185,750 pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara ini setakat Mac 2023 dan tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata–mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan," katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) di bangunan Perdana Putra, di sini pada Isnin.

Tegas beliau, kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB (1949) dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).

"Namun, perlu diingatkan bahawa Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967," katanya.

Ujar beliau, kerajaan telah membenarkan golongan itu untuk berada sementara di dalam negara sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal atas prinsip nilai kemanusiaan.

"Kerajaan amat mengambil berat terhadap kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti yang dijalankan oleh segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka yang bertentangan dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad UNHCR meningkat dengan ketara bagi tempoh 14 tahun kebelakangan ini berbanding 75,612 orang pada tahun 2009.

Daripada jumlah itu, seramai 160,332 orang atau 86.3 peratus merupakan pelarian Myanmar dari etnik Rohingya.

"Pelarian dari negara lain yang mempunyai signifikan ialah Pakistan seramai 7,109 orang, Yemen (3,466) Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161)," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat juga mengambil maklum terhadap tindakan pihak UNHCR yang mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian daripada Indonesia.

"Antara alasan yang diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan," ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi penekanan terhadap perancangan dan usaha mengukuhkan peranan di dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama antaranya penglibatan agensi di dalam penentuan status pelarian serta pendaftaran pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh UNHCR.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati bersekongkol dengan ejen pemerdagangan manusia, menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini.