Penggunaan katil ICU masih tinggi, halang Pahang beralih fasa tiga

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di Pahang yang masih tinggi menjadi penghalang kepada negeri itu untuk beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini kadar peratusan vaksinasi di Pahang sudah melebihi sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, semua kriteria telah dipenuhi kecuali penggunaan bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang agak tinggi.

"Dalam mesyuarat baru-baru ini, saya sudah bangkitkan perkara ini kepada Perdana Menteri, (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beliau (Khairy Jamaluddin) meminta tempoh seminggu untuk semak balik perkara itu.

“Saya kata mereka yang kena jangkitan Covid-19 ini sudah lama berada dalam ICU dan jangka masa untuk pulih ambil masa sehingga dua minggu. Jadi, bagaimana dengan mereka di luar yang tidak terbabit dengan Covid-19 mahu teruskan kehidupan.

“Kadar vaksinasi juga kita sudah penuhi kriteria, kadar kebolehjangkitan pun bawah daripada satu dan semua itu kita sudah ada. Kita minta supaya KKM dan MKN beri pertimbangan khas untuk kita beralih ke fasa tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas tinjauan pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy (tengah) bersama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada Selasa.
Wan Rosdy (tengah) bersama pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada Selasa.

Wan Rosdy menjelaskan, kerajaan Pahang yakin dapat mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini seperti yang dijadualkan.

Bagaimanapun katanya, data mendedahkan kira-kira 100,000 lagi penduduk di negeri ini belum mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

“Setakat ini, di Pahang lebih 83.8 peratus sudah mendapat dos pertama dan 61 peratus sudah lengkap menerima dua dos. Mengenai data yang menyatakan terdapat lebih 100,000 penduduk belum mendaftar, kita akan semak semula.

“Kemungkinan angka itu tidak tepat, mungkin ada penduduk Pahang mendapatkan suntikan vaksin di luar negeri ini, mungkin di Lembah Klang, jadi data ini kita akan selaraskan semula," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan seramai 30,000 warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Pahang akan menerima suntikan dos pertama vaksin pada penghujung September.

Ditanya mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dijangka dibentangkan Isnin depan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berhasrat melihat lebih banyak infrastruktur melibatkan jalan raya dan hospital di Pahang diberi keutamaan.