Bekalan air cukup untuk tanaman padi

Jadual penanaman padi Musim 1/2019. (Gambar kecil: Fouzi)
Jadual penanaman padi Musim 1/2019. (Gambar kecil: Fouzi)
A
A
A

ALOR SETAR - Bekalan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diyakini mencukupi untuk tujuan penanaman padi untuk musim 1/2019 bakal bermula April depan.

Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali berkata, bekalan air di setiap empangan di bawah pengurusan MADA adalah mencukupi bagi memulakan tanaman padi, walaupun cuaca panas melanda negara ketika ini.

Katanya, berdasarkan rekod sehingga 3 Mac, bekalan air di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning masih berada pada tahap selesa melebihi 54 hingga 81 peratus.

“Kita mendapati kadar takungan air di Empangan Pedu berada pada kadar 877.74 juta meter padu (81.32%), Empangan Muda pada kadar 84.19 juta meter padu (54.60%) dan Empangan Ahning pada kadar 197.82 juta meter padu (71.93%).

“Malah, kedudukan takungan ini jauh lebih baik berbanding kedudukan takungan terendah pada 2017, yang mana pada tarikh itu kedudukan takungan di Empangan Pedu pada kadar 645.58 juta meter padu (59.1%), Empangan Muda 47 juta meter padu (30.48%) dan Empangan Ahning pada kadar 163.39 juta meter padu (59.42%), “ katanya.

Katanya, MADA yakin dengan perlaksanaan sistem kualiti MS ISO 9001:2015 dalam Pengendalian Sistem Pengurusan Air MADA, sekaligus dapat menguruskan pengairan tanaman padi dengan baik bagi Musim 1/2019.

“Pihaknya menjangkakan hanya memerlukan 45% sokongan air daripada empangan dan selebihnya akan ditampung oleh turunan hujan, aliran sungai dan pam guna semula,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA Musim 1/2019 untuk perbincangan bersama dengan semua pemimpin peladang terlibat pada 24 Februari 2019 yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil mesyuarat memutuskan Jadual Penanaman Padi (JPP) MADA Musim 1/2019 bagi Tarikh Mula Bekalan Air untuk Fasa I adalah pada 17 April 2019, Fasa II pada 1 Mei 2019 dan Fasa III adalah pada 15 Mei 2019.

“Jadual Penanaman Padi MADA Musim 1/2019 telah dilewatkan sedikit permulaanya berbanding musim-musim terdahulu selepas mengambil kira bulan piama iaitu amalan penentuan musim dan turunan hujan yang diamalkan oleh petani pada masa dahulu,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, MADA turut mengambil kira ramalan turunan hujan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi pertengahan tahun pertama 2019.

Fouzi juga berkata, petani disaran mengambil peluang ketika cuaca panas dan kering serta tempoh rehat panjang dengan melakukan kerja-kerja persediaan tanah.