Jangan terlibat jual sijil vaksin

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kanan: Tangkap layar yang tular di media sosial akhir-akhir ini memaparkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kanan: Tangkap layar yang tular di media sosial akhir-akhir ini memaparkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil vaksinasi untuk tampil dan salurkan kepada pihaknya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, ini bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk tindakan susulan.

"PDRM menasihatkan orang ramai tidak terbabit kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.

"Orang ramai diminta melaporkan kepada polis jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Abd Jalil
Abd Jalil

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya menerima satu laporan berkenaan tular di media sosial berlakunya penjualan sijil digital vaksinasi.

"Kita (SKMM) menerima satu laporan berkenaan kes ini pada 17 September lalu.

"Kes ini telah dipanjangkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PDRM untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Fadhlullah Suhaimi
Dr Fadhlullah Suhaimi

Baru-baru ini tular di media sosial Facebook berkenaan tawaran membeli sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera dengan harga mencecah RM1,500 seorang manakala RM1,200 sekiranya permohonan itu melebihi lima orang.

Menerusi paparan tangkap layar (screen shot) yang tular itu juga mendakwa, sijil digital itu menggunakan nama sebenar dan selamat sekiranya pemeriksaan pihak berkuasa.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, sejak pembukaan sektor ekonomi terutamanya kebenaran makan di kedai, ramai individu antivaksin yang nekad hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik untuk mendapatkan sijil vaksin secara tidak sah malah sanggup disuntik picagari kosong.

Sumber yang ditemubual Sinar Harian mendedahkan, dalam satu kes di sebuah PPV di Selangor ada individu cuba menawarkan sejumlah wang kepada petugas bagi memperoleh sijil berkenaan.

Kata sumber itu, kelompok antivaksin tersebut juga meminta petugas PPV bersekongkol bersama mereka untuk menipu dengan hanya menyuntik jarum kosong tanpa kandungan vaksin baik Pfizer, AstraZaneca mahupun Sinovac.