X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Polis nafi dakwaan wanita warga Indonesia didera

Video tular mengenai dakwaan seorang wanita warga Indonesia didera majikannya.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan seorang wanita warga Indonesia didera majikannya di sebuah kondominium di Taman Ayer Panas pada Khamis lalu sebagaimana yang didakwa dalam satu video tular.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah mengesan sebuah video tular di media sosial Facebook berdurasi satu minit 10 saat yang memaparkan seorang wanita berada dalam ketakutan dan mendakwa telah didera majikannya.

"Kita telah pergi ke kondominium berkenaan untuk mendapatkan maklumat kejadian.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi di tempat kejadian dan keterangan saksi, kejadian berlaku pada Khamis lalu kira-kira jam 10 malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ashari berkata, hasil keterangan saksi, tiada unsur penderaan yang berlaku terhadap mangsa sebaliknya wanita itu dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana hendak balik ke negara asal.

"Mangsa telah berjaya dipujuk oleh rakannya dan ditenangkan, salah seorang kenalan mangsa juga telah membuat laporan polis bagi menafikan berlakunya kejadian dera ke atas mangsa," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mangsa dan pihak kedutaan indonesia berhubung kejadian ini.

"Sehubungan itu, kita berharap supaya spekulasi kejadian dera ke atas mangsa tidak ditularkan kerana berita yang tidak tepat boleh mendatangkan keresahan dan kerisauan kepada masyarakat," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!