PH cadang wujudkan Tabung Pinjaman Agrofood

Salahuddin (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.
Salahuddin (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pertanian Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan mewujudkan Tabung Pinjaman Agrofood dengan nilai peruntukan berjumlah RM5 bilion dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, cadangan itu dibuat bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan khususnya ayam yang kini melebihi RM10 sekilogram.

Ini kerana katanya, industri penternakan ayam di Malaysia berdepan dengan kapasiti pengeluaran yang terhad berikutan kebanyakkan mereka masih mengamalkan penternakan ayam secar tradisional.

"Sebenarnya, Tabung Pinjaman Agrofood ini bukanlah perkara baharu. Semasa pentadbiran PH, kami telah menyediakan tabung ini dalam belanjawan 2020.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 1.0 (semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga meneruskan tabung tersebut dengan memperuntukkan RM1 bilion pinjaman.

"Bagaimanapun, saiz tabung ini dikatakan terlalu kecil dengan pelbagai sekatan syarat termasuk RM5 juta pinjaman maksimum sahaja. Masalah birokrasi ini juga menjadi batu penghalang dan tidak membantu pengusaha yang ingin meningkatkan produktiviti secara besar-besaran," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

Sidang akhbar itu turut dihadiri tiga lagi ahli Parlimen PH, Sim Tze Tzin (Bayan Baru); Kesavan (Sungai Siput) dan Sivakumar (Batu Gajah).

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, selaras itu, Jawatankuasa Pertanian PH mendesak kerajaan memberi fokus semula kepada sektor pertanian dengan mewujudkan tabung berkenaan serta melonggarkan syarat dan terma yang membebankan petani.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan harus membantu petani, penternak dan nelayan supaya mereka berupaya meningkatkan hasil pendapatan masing-masing," katanya.