X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Pandu lawan arus, pegawai pemasaran didakwa bunuh dua remaja

Polis membawa K Devaaswin, 24, ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin, bagi menghadapi pertuduhan melakukan bunuh terhadap dua remaja, lebih seminggu lalu. Foto Sinar Harian/ Rosli Talib.
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai pemasaran pengangkutan yang memandu kenderaan secara melawan arus sehingga menyebabkan dua remaja terkorban di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan, lebih seminggu lalu didakwa membunuh di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

K Devaaswin, 24, yang hadir dengan memakai baju T berlengan panjang warna hitam dilihat menundukkan kepala dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada tertuduh selepas dua pertuduhan dibaca secara berasingan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Devaaswin yang masih bujang itu, didakwa melakukan bunuh terhadap Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur pada jam 1.50 pagi, 12 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua remaja maut kereta dirempuh Triton lawan arus

Pemandu Mitsubishi Triton lawan arus positif ganja

Lawan arus: Kes disiasat di bawah Seksyen 302

Atas kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum gantung sampai mati.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 21 Oktober depan untuk serahan laporan kimia serta bedah siasat.

Pada 12 September lalu, Sinar Harian melaporkan, dua maut selepas kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki, dirempuh pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib hasil siasatan awal mendapati, pemandu pacuan empat roda dilaporkan positif ganja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!