Perihal harga ayam dan kaki ayam yang terangkat

Merak Jalanan berharap sangat kerajaan selesaikan segera isu kenaikan harga ayam. - Foto Bernama
Merak Jalanan berharap sangat kerajaan selesaikan segera isu kenaikan harga ayam. - Foto Bernama
A
A
A

MERAK Jalanan sebenarnya lebih suka makan ayam berbanding ikan atau daging lembu. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan ayam, menu itu tidak sesekali membantutkan selera makan.

Jika masak sendiri, macam-macam menu boleh dimasak menggunakan ayam. Daripada ayam goreng biasa, ayam masak merah hinggalah bakar simple bersama kunyit, semuanya sedap dimakan.

Ayam goreng yang dicarik-carik juga sedap dinikmati bersama lontong, soto dan bihun sup.

Paling Merak Jalanan suka ialah sup kaki ayam kerana percaya kaki ayam dapat membantu mengurangkan masalah sakit lutut.

Kaki ayam dikatakan mengandungi kolagen semula jadi. Merak Jalanan tak pasti keberkesanannya kepada orang lain.

Setiap kali ke pasar awam, paling kurang lima ekor ayam dibeli dan apabila berlaku kenaikan harga ayam, memang terasa kesannya. Daripada RM7.80 sekilogram, harga ayam kini sudah RM9.

Walaupun ada yang suka membeli ayam di pasar raya kerana harganya lebih murah, Merak Jalanan lebih suka ayam dijual di pasar awam kerana ia lebih segar.

Kesegaran ayam-ayam itu dapat dilihat apabila pada ketika kita mahu membelinya, kaki-kaki ayam itu masih terangkat yang menunjukkan ia baru saja disembelih. Berbanding ayam-ayam di pasar raya yang sudah beku, kita tidak tahu sudah berapa lama ayam itu disembelih dan berapa lama berada dalam peti sejuk pasar raya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, Merak Jalanan berharap sangat kerajaan selesaikan segera isu kenaikan harga ayam kerana jika tidak diatasi dengan segera kesan rantaiannya akan membebankan pengguna.

Dalam siri-siri kenaikan harga barang sebelum ini, yang sentiasa menjadi mangsa sudah semestinya pengguna akhir yang terpaksa menyerap segala kos.

Peniaga-peniaga makanan pula sudah pasti terpaksa menaikkan harga makanan kerana tidak sanggup lagi menanggung kerugian. Bayangkan berapa banyak perniagaan yang berkait dengan ayam.