X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

'Nasi lemak meletup' Hafizah jadi tarikan pelancongan di Kajang

Loy Sian turut memuat naik gambar pelanggan beratur panjang di hadapan gerai nasi lemak Hafizah.
A
A

SHAH ALAM - Pasangan suami isteri yang 'berumah' dalam kereta di Bandar Kajang di sini, berjaya mengubah kehidupan mereka hanya dalam tempoh 24 jam selepas menerima bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian menyifatkan perubahan yang berlaku kepada pasangan terbabit membuktikan semangat dan kecekalan luar biasa dimiliki mereka.

"Diusir keluar dari rumah tanpa wang dan tidur dalam kereta untuk (tempoh) dua bulan tetapi dalam masa kurang daripada 24 jam (dibantu), Hafizah telah melalui transformasi yang sangat drastik.

"Hafizah mampu berdiri semula dengan usaha sendiri dan nasi lemak 'meletup' Hafizah kini menjadi hotspot pelancongan baharu di Kajang," kata Loy Sian.

Loy Sian yang juga merupakan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hak Ehwal Orang Asli negeri berkongsi perkembangan pasangan terbabit di laman Facebooknya pada Ahad.

Pada Sabtu, Loy Sian membantu pasangan bersama tiga anak mereka itu berpindah ke rumah sewa baharu setelah dua bulan tinggal di dalam kereta kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mereka.

Pasangan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Risainy dan Hafizah itu turut diberikan modal permulaan untuk berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan berhampiran Masjid Jamek Kajang sejak semalam.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, apa yang menarik ialah orang ramai termasuk dari Kuala Lumpur juga datang untuk mendapatkan nasi lemak yang dijual oleh Hafizah sebagai tanda sokongan mereka.

"Jom ramai-ramai datang pada hari Isnin, esok untuk mencuba nasi lemak 'meletup' Hafizah di Kajang," catat ADUN Kajang di laman sosialnya itu.

Beliau turut memuat naik gambar pelanggan beratur panjang di hadapan gerai nasi lemak Hafizah selain menasihatkan agar mereka turut mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Line panjang sikit macam pusat vaksinasi, tapi kena ikut SOP, satu meter juga ya, 'stay safe and welcome to Kajang'," tulis Loy Sian dengan mengakhiri posting itu dengan tanda mengambil berat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!